
SELANGOR FC mengesahkan penyerang sayap, Faisal Halim disahkan mengalami keretakan di bahagian tulang hidungnya dalam perlawanan penutup Liga Super 2024/25 bertemu PDRM FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kelana Jaya, Selangor pada Sabtu.
Menerusi hantaran pada media sosial rasmi kelab, Selangor memberitahu bahawa pemain berusia 27 tahun itu akan dirawat secara konservatif serta mendapatkan pemeriksaan rapi dalam masa terdekat.
BACA LAGI: [VIDEO] Faisal Halim patah tulang hidung terkena siku kapten PDRM
"Menurut doktor pakar Telinga, Hidung dan Tekak (ENT), beliau mengalami “Fracture nasal bone with mucosa laceration” dan akan dirawat secara konservatif serta mendapatkan pemeriksaan rapi dalam masa terdekat.
"Walau bagaimanapun, tiada kesan membahayakan untuk beliau beraksi di atas padang. Pihak pengurusan mendoakan agar Faisal Halim cepat sembuh. Terus kuat, Mickey," kata kelab memetik hantaran tersebut.
Sebelum ini, Majoriti melaporkan Faisal secara tidak sengaja disiku oleh ketua pasukan PDRM FC iaitu Faith Friday Obilor pada minit 55 permainan hingga menyaksikan dia cedera di bahagian muka.
Difahamkan, pemain kebangsaan tersebut berlaga dengan Obilor di mana situasi itu menyebabkan hidungnya berdarah dan terpaksa mendapatkan rawatan.
Kecederaan yang dialami Faisal itu dibimbangi akan memaksanya berehat untuk jangka masa panjang. Ia boleh merisikokan karier pemain berkenaan lagi-lagi selepas dia baru sahaja pulih dari kecederaan sebelum ini.
Pada 5 Mei 2024, Faisal menjadi mangsa simbahan asid oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya sekali gus mengalami kecederaan melecur tahap empat pada beberapa anggota badan dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) selama kira-kira 10 hari.
Selepas hampir tiga bulan berehat, bekas pemain Terengganu itu kembali beraksi di atas padang buat kali pertama pada aksi Liga Super 2024 menentang Kelantan Darul Naim (KDN) FC pada Ogos tahun lepas.
Berkat kegigihannya, Faisal berhasil meledak hatrik pada 10 Mac lepas bertemu KDN FC dan sekali gus menamatkan kemarau jaringan dalam saingan kompetitif sejak kembali beraksi selepas insiden simbahan asid pada Mei tahun lepas. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram