
JODOH pemain sayap, Saddil Ramdani bersama Sabah FC dijangka tidak akan berkekalan selepas dia dikatakan berpotensi besar untuk meninggalkan pasukan pada akhir musim ini.
Tonggak kelahiran Indonesia itu sudah bersama The Rhinos selama empat musim dan membantu pasukan untuk menduduki tempat ketiga Liga Super selama tiga musim berturut-turut.
Berita kurang baik itu dikongsikan oleh bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sabah FC, Marzuki Nasir yang memberi bayangan awal tentang masa depan pemain tersebut.
BACA LAGI: [VIDEO] JDT tak kebal mana, Kedah antara 4 pasukan tambat seri Harimau Selatan
Tangkap layar Instastory Marzuki.
Menerusi satu hantaran yang dikongsikan di laman Insta Story miliknya, Marzuki memaklumkan bahawa Saddil difahamkan akan meninggalkan pasukan yang berpangkalan di Borneo itu untuk membawa haluan ke tempat baharu.
"Selamat jalan dan semoga terus sukses kariernya. Once a Rhino always a Rhino," tulisnya.
Bagaimanapun, masih belum ada kenyataan rasmi mengenai destinasi seterusnya buat pemain lincah itu, sama ada dia akan terus kekal beraksi dalam saingan Liga Malaysia atau pulang ke tanah airnya.
Namun begitu, terdapat juga desas-desus yang mengaitkan Saddil dengan kelab gergasi Liga 1 Indonesia, Persib Bandung.
Selain itu, Saddil turut dikatakan berkemungkinan besar akan menyertai Persis Solo, sekali gus berpeluang untuk kembali bekerjasama dengan bekas jurulatihnya di Sabah, Datuk Ong Kim Swee.
Antara pencapaian terbaik Saddil bersama Sabah FC adalah ketika membantu pasukan untuk melangkah ke pentas separuh Piala AFC 2023.
Sabah kini menghuni tangga ketiga Liga Super dengan 40 mata selepas 23 perlawanan dan berpotensi untuk mengekalkan posisi tersebut buat musim keempat berturut-turut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram