Dua kiper JDT tubuh 'Klinik Goalkeeper', tawar yuran semurah RM20


  • Podium
  • Jumaat, 18 Apr 2025

Farizal (dua dari kiri) dan Izham (dua dari kanan) bekerjasama dalam menubuhkan sebuah akademi penjaga gol buat pemain muda. — Instagram/JOHOR Southern Tigers

PELUANG berlatih di bawah bekas pemain bukanlah mudah, apatah lagi daripada nama-nama besar yang cukup berpengalaman sepanjang karier dengan pelbagai hasil dan kejayaan berjaya direkodkan.

Malah, sekiranya terdapat ruang sedemikian, seseorang pemain muda dan cilik perlu mengeluarkan perbelanjaan besar dengan ibu bapa atau penjaga perlu membuat pengorbanan besar.

Menyedari peluang sebegitu sukar diraih orang ramai, tampil dua penjaga gol Johor Darul Ta'zim (JDT) iaitu Farizal Marlias dan Izham Tarmizi yang menawarkan pengajian dengan kos berpatutan.

BACA LAGI: [VIDEO] Masih tangkas di gawang gol, fans JDT harap Farizal ikut jejak Aidil

BACA LAGI: Kapten Sabah, Farizal Marlias antara bintang Liga Super layak menerima 'testimonial' selepas 10 tahun berkhidmat

Peluang menimba ilmu dan pengalaman bersama dua pemain bertaraf bintang itu sukar ditolak.

Dalam hantaran di Instagram ZeroOne GK Official, satu poster dimuat naik dengan tawaran 'Klinik Goalkeeper' kepada mana-mana pemain berusia 16 tahun ke bawah yang berminat untuk menjadi benteng pertahanan terakhir.

"Kepada adik-adik yang berminat atau ingin belajar untuk menjadi seorang penjaga gol, mari turun padang sertai Klinik Goalkeeper bersama Farizal Marlias dan Izham Tarmizi pada 4 Mei ini. Jangan lepaskan peluang keemasan," tulisnya.

Beberapa hantaran lain di media sosial itu memaparkan pelbagai aspek menarik yang akan diajar, termasuk pembangunan dari segi mental serta cara memperbaiki tempoh tindak balas.

Kelas yang diadakan dengan yuran serendah RM20 itu menjanjikan pengalaman bermakna kerana pemain muda bukan sahaja dapat memperbaiki aspek asas sebagai penjaga gol, malah dapat menimba pengalaman daripada dua bintang Harimau Selatan itu.

Izham (kiri) dan Farizal cukup berpengalaman selepas kira-kira 10 musim beraksi buat skuad Harimau Selatan. Instagram/JOHOR Southern Tigers

Farizal pastinya tidak perlu diperkenalkan lagi kerana tonggak pertahanan kelahiran Maran, Pahang itu sudah beraksi di Selatan tanah air sejak 2015 dengan pelbagai kejayaan berjaya dikecapi.

Ini termasuk sembilan kejuaraan Liga Super berturut-turut, Piala AFC pada tahun pertamanya selain beberapa gelaran individu yang mengukuhkan namanya sebagai salah seorang penjaga gol terbaik negara.

Selain pernah beraksi buat skuad Harimau Selatan, pemain berusia 38 tahun terbabit pernah beraksi buat kelab tempatan lain seperti Selangor, Negeri Sembilan serta Perak sepanjang kariernya.

Bagi Izham pula, dia yang semusim awal menyertai JDT berbanding Farizal juga memiliki lambakan gelaran meskipun lebih kerap diletakkan di bangku simpanan sepanjang 10 tahun di sana.

Selain pernah dipinjamkan ke Sri Pahang FC pada kempen lalu, dia memilih untuk terus kekal bersama skuad Harimau Selatan dengan keputusan itu dapat menjamin karier serta kehidupannya di luar padang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram