
DESAS-DESUS semakin hangat diperkatakan dalam kalangan peminat bola sepak tempatan apabila penyerang muda Kuala Lumpur City FC , Muhammad Haqimi Azim Rosli, dikaitkan dengan perpindahan ke juara bertahan Liga Super, Johor Darul Takzim (JDT) bagi musim 2025/26.
Khabar angin itu mula tersebar luas selepas pemerhati bola sepak tanah air, Zulhelmi Zainal Azam, memuat naik satu hantaran di platform media sosial miliknya yang memberi bayangan seolah-olah Haqimi Azim bakal menjadi pemain terbaru yang akan menyertai skuad Harimau Selatan dalam 'perpindahan mega' akan datang.
"Welcome to Home of Champion, Haqimi Azim Rosli difahamkan ikat kontrak dengan JDT untuk ‘perpindahan mega’ Liga Malaysia 2025/26," ciapnya ringkas melalui laman X (Twitter) miliknya pada Ahad.
BACA LAGI : Jika pemain bagus seperti Arif Aiman ke luar negara, apa jadi liga kita? — Peter Cklamovski
BACA LAGI : Mungkin tinggalkan JDT usai kontrak tamat, ada 3 kelab Indonesia patut sambar Jordi Amat
Haqimi Azim bakal menamatkan kontraknya bersama Kuala Lumpur City FC pada 31 Mei depan. — Gambar/Zulhelmi Zainal Azam
Haqimi Azim, yang mencuri tumpuan dalam saingan Piala Asia B-23 di Qatar apabila menjadi satu-satunya penjaring gol Malaysia, dikatakan turut menarik minat beberapa kelab besar lain termasuk Selangor FC.
Namun, ketika ini, JDT dilihat paling serius untuk mendapatkan khidmatnya bagi memperkukuh barisan serangan menjelang musim baharu.
Menjengah ke ruangan komen, ada dalam kalangan peminat mula meluahkan rasa tidak puas hati, terutama penyokong Red Giants yang berasakan Selangor FC terlalu perlahan bertindak dalam isu perpindahan pemain muda berbakat.
Seorang pengguna X, @muhdhil, secara sinis meninggalkan komen sinis terhadap Selangor FC.
"Selangor lambat buat kerja," tulisnya.
Buat masa ini, semua pihak masih membisu dan belum ada sebarang kenyataan keluarkan mana-mana pihak.
Namun jika melihat kepada laman web Transfermarket, penyerang muda itu bakal menamatkan kontraknya bersama Kuala Lumpur City FC pada 31 Mei depan.
Tetapi jika ramalan Zulhelmi Zainal Azam menjadi kenyataan, maka penyokong JDT boleh mula mencongak formasi baru yang bakal dibarisi satu lagi permata muda bola sepak negara. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram