Risaunya cuma 75 penonton datang stadium aksi Liga Super, nak tunggu apa lagi?


  • Podium
  • Jumaat, 18 Apr 2025

Hanya 75 penonton hadir ke stadium bagi menyaksikan perlawanan antara skuad Kijang Emas dan Negeri Sembilan FC. — Facebook/KDN FC

SUDAH lama penyokong mengatakan bahawa kemeriahan Liga Super sudah semakin pudar apabila kehadiran penyokong ke stadium sudah semakin berkurangan dari musim ke musim.

Kejohanan yang dahulunya amat dinanti-nantikan peminat sukan bola sepak itu boleh dikatakan kian kehilangan kemanisannya sehingga membuatkan penyokong tidak lagi berminat untuk mengikuti perkembangannya.

Meskipun ada yang cuba menegakkan pendirian masing-masing, pelbagai fakta boleh diberikan bagi menyokong pendirian yang mengatakan saingan tanah air itu tidak lagi dapat menarik peminat.

BACA LAGI: Bergson-King Dayo-Kpah dianggap antara 'Raja Gol' dalam sejarah Liga Super

BACA LAGI: Tak bertanding Piala Presiden, Kedah, Pahang, Perak, KDN hint tarik diri Liga Super 2025 

Ini termasuk statistik dikeluarkan MakanBola yang memaparkan jumlah kehadiran penonton bagi enam perlawanan dianjurkan bagi minggu ke-25 Liga Super dengan angka yang dicatatkan amat membimbangkan.

Secara keseluruhan, hanya 7,549 penyokong hadir ke stadium dengan kehadiran tertinggi direkodkan dalam pertembungan antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Kuching City FC di Stadium Negeri Sarawak.

Lebih mengecewakan lagi, pertembungan antara dua pasukan tercorot, Kelantan Darul Naim (KDN) FC dan Negeri Sembilan FC hanya menyaksikan 75 penonton hadir ke Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kelantan.

Angka keseluruhan yang dikumpulkan itu merupakan antara jumlah terendah dalam musim ini dengan ia membuktikan penyokong tidak lagi ghairah untuk memberi sorakan kepada pasukan di negeri masing-masing.

Berdasarkan luahan di media sosial, orang ramai memberikan 1,001 pendapat berhubung penurunan itu dengan harapan perubahan dapat disaksikan pada musim-musim akan datang.

Aksi antara JDT dan Kuching City FC hanya dapat menarik tidak lebih daripada 4,000 penyokong ke Stadium Negeri Sarawak. Facebook/JOHOR Southern Tigers

"Yang memeriahkan kehadiran bola sepak ini adalah mereka yang lahir dari era 1960-an sehingga 1980-an. Generasi selepas itu sudah semakin suram, ramai budak sekarang yang tidak minat bola.

"Mereka lebih minat berkumpul di kedai makan dan pergi ke tempat yang mereka gemar. Jadi, jangan haraplah untuk naik melainkan ada satu perubahan besar," kata Ahmad Rusdi.

"Kasihannya dengan liga kita yang sudah hancur sebenarnya. Kalah hanya 75 orang penonton, ramai lagi yang datang saksikan aksi persahabatan di kampung aku. Ada virus sebenarnya dalam liga kita yang mematikannya secara perlahan-lahan," kata Saya Gerard.

"Penyebabnya adalah perubahan sosial kita. Kalau dahulu, bapa-bapa kita suka bermain bola, tetapi generasi kini kurang minat. Malah, ada yang tidak langsung meminati sukan bola sepak kerana lebih berminat dengan gajet," kata Puncak Niaga.

Tanggungjawab untuk mencari jalan penyelesaian terhadap permasalahan itu perlu dipikul Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) yang perlu mengenal pasti solusi dengan segera.

Sekiranya badan pengelola terus berdiam diri, isu berkenaan akhirnya akan menjerat organisasi itu sendiri kerana mereka terpaksa menanggung kerugian kerana gagal menarik penaja. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram