
TEMPOH kontrak Syafiq Ahmad bersama Kedah Darul Aman (KDA) FC dijangka tidak akan dilanjutkan selepas isterinya berkongsi bahawa mereka akan meninggalkan Utara tanah air dalam masa terdekat.
Berdasarkan perkongsian, mereka sekeluarga dilihat sudah mengemas dan meninggalkan kediaman semasa, sekali gus menimbulkan kemungkinan bahawa penyerang itu bakal kembali ke pangkuan Johor Darul Ta'zim (JDT).
Namun, dengan skuad Harimau Selatan kini sudah dibanjiri peledak import, Syafiq dijangka berhijrah ke mana-mana destinasi ideal pada jendela perpindahan akan datang sama ada secara pinjaman mahupun kekal.
BACA LAGI: Hampir pasti tinggalkan Kedah, Syafiq Ahmad disebut-sebut perkuat Selangor
BACA LAGI: 'Bukan rezeki kami di Kedah', Syafiq Ahmad beri hint tinggalkan Sang Kenari buat kali ke-3
Selangor FC pasti terbuka untuk menerima kehadiran Syafiq Ahmad musim depan. — Facebook/MFL
Kelab terbaik untuk meneruskan karier sudah tentu Selangor FC yang ketandusan penyerang lokal dengan kehadiran pemain berusia 29 tahun itu akan memberi saingan melihat kepada pengalaman serta sentuhannya.
Bagaimanapun, perpindahan itu masih sukar untuk direalisasikan kerana hubungan dingin antara kelab Lembah Klang tersebut dengan JDT sedikit sebanyak menutup pintu rundingan.
Tetapi, Syafiq tidak perlu khuatir memandangkan masih terdapat tiga kelab yang boleh menjanjikan minit permainan buatnya selain bebas daripada isu kewangan seperti dialami KDA FC musim ini.
1. Kuching City FC
Siapa sangka, Kuching City FC yang baru sahaja dua musim beraksi dalam Liga Super sudah boleh menembusi kelompok lima teratas dengan tiada sebarang masalah kewangan dilaporkan.
Ini merupakan satu petanda bahawa kelab Borneo tanah air itu merupakan destinasi terbaik buat Syafiq yang tidak lagi dibelenggu isu sama selepas berasakannya bersama skuad Sang Kenari ketika ini.
Syafiq ketika beraksi buat skuad Sang Kenari yang dikendalikan Aidil Sharin. — Facebook/KDA FC
Perpindahan ke sana juga dapat menyajikan peluang cerah buatnya bersaing secara sihat dengan jentera serangan pasukan itu kini diketuai Jordan Mintah yang beraksi cemerlang sepanjang musim.
Tidak cukup dengan itu, sekiranya dia mengambil keputusan tersebut, ini akan mewujudkan semula hubungan pernah dicipta bersama Aidil Sharin Sahak ketika kedua-dua mereka bekerjasama di KDA FC dua musim lalu.
Meskipun hanya sementara, persefahaman yang pernah cuba dibangunkan akan memudahkan usaha Syafiq menyesuaikan diri, sekali gus membawa Kuching City FC ke tahap lebih tinggi selepas ini.
2. Penang FC
Ketumpulan jentera serangan merupakan satu isu yang sukar diselesaikan Penang FC dengan peledak import mereka, Rodrigo Dias sungguh mengecewakan meskipun sudah mencatatkan 10 gol.
Jadi, pengendali pasukan, Wan Rohaimi Wan Ismail pasti akan mencari jalan untuk mengukuhkan lagi posisi tersebut dengan Syafiq merupakan antara calon terbaik untuk mengatasi masalah terbabit.
Kepercayaan penuh yang boleh diberikan kepada pemain Harimau Malaya itu akan membawa manfaat kepada kedua-dua pihak kerana penyerang terbabit akan kembali yakin sementara skuad Harimau Kumbang akan lebih berbahaya di hadapan gawang lawan.
Syafiq Ahmad boleh menjadi mentor kepada Alif Ikmalrizal dalam pasukan. — Facebook/Penang FC
Permintaan gaji pemain itu juga dijangka tidak terlalu membebankan berbanding pelaburan dibuat terhadap pemain import dengan dana berlebihan tersebut boleh disalurkan kepada pembangunan aspek lain.
Kehadiran penyerang terbabit juga boleh berfungsi sebagai medium Wan Rohaimi untuk mengasah bakat Alif Ikmalrizal yang mampu menjadi penyerang berkualiti dengan tunjuk ajar mencukupi.
Syafiq yang merupakan anak jati Bayan Lepas, Pulau Pinang juga pasti terbuka dengan idea tersebut kerana ini tidak langsung menyajikannya peluang meluangkan masa bersama keluarga.
3. Terengganu FC
Pada awal musim lalu, Terengganu FC meraih manfaat besar daripada polisi pinjaman JDT apabila mereka menerima tiga bintang iaitu Akhyar Rashid, Azam Azmi Murad serta anak jati negeri, Safawi Rasid.
Kehadiran mereka jelas membuahkan hasil kerana skuad Sang Penyu pasti akan tempang tanpa kehadiran ketiga-tiga pemain itu, lebih-lebih lagi Safawi yang turut memikul peranan kapten.
Keterbukaan JDT melepaskan Akhyar (kiri) dan Safawi ke skuad Sang Penyu membuktikan hubungan baik kedua-dua kelab. — Facebook/Terengganu FC
Hubungan baik antara kedua-dua kelab itu boleh diteruskan musim depan sekiranya mereka mampu mendapatkan khidmat Syafiq Ahmad, sama ada secara pinjaman mahupun kekal dengan terma itu hanya boleh diputuskan JDT.
Pengalaman penyerang berkenaan sudah tentu dapat memberi saingan kepada dua peledak luar negara, Nelson Bonilla dan Ismahil Akinade kerana masing-masing perlu memberi impak terbaik untuk berada dalam kesebelasan utama.
Tidak cukup dengan itu, reputasi Syafiq yang pernah diangkat sebagai antara pemain lokal terbaik di posisinya boleh menjadi tunjuk ajar kepada 'ubi muda' seperti Syahmi Zamri mempunyai potensi besar. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram