
SRI Pahang FC dalam langkah yang baik menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia bertemu Johor Darul Ta'zim (JDT) pada 26 April.
Apa yang menariknya, Sri Pahang berada dalam momentum yang sangat baik dengan mereka menang empat daripada lima perlawanan terakhir liga.
Ia termasuk kemenangan 3-2 ke atas Penang FC pada Sabtu yang merupakan aksi terakhir Tok Gajah dalam liga musim ini.
BACA LAGI: Harimau Kumbang tenang-tenang, duo peledak Sri Pahang mungkin tak turun aksi akhir Liga Super
BACA LAGI: Sri Pahang boleh rencat konsistensi JDT, Rajagobal harap final Piala Malaysia cukup 'thriller'
Sri Pahang menewaskan Penang 3-2 pada aksi terakhir Liga Super.
Lebih menarik, dalam empat kemenangan itu, tiga daripadanya hadir ketika mereka menundukkan kelab-kelab dari Utara seperti Kedah Darul Aman FC, Perak FC dan Penang.
Bagi pemerhati bola sepak tempatan, Afiq Rowley, kemenangan ke atas Penang itu bukan saja menggembirakan penyokong yang hadir ke Stadium Mini Temerloh, Temerloh, namun membuatkan mereka lebih yakin untuk perlawanan akhir.
"Suatu kemenangan yang cukup diperlukan dan penamat yang menggembirakan para peminat Tok Gajah sendiri di Temerloh.
"Empat kemenangan berturut-turut dan tiga daripadanya merupakan kelab dari utara. Momentum semasa mereka sangat menyakinkan," katanya kepada Majoriti.
Bagi Afiq, momentum yang diraih Sri Pahang ketika ini pastinya memberikan kelegaan kepada jurulatihnya, Fandi Ahmad akibat prestasi tidak menentu mereka.
Dengan tiada lagi aksi sebelum hari penting 26 April ini, momentum sedia ada cukup untuk membuatkan jurulatih itu lebih tenang sebelum berdepan JDT.
"Sudah tentu, selepas aksi separuh akhir Piala Malaysia lalu, Sri Pahang alami kemerosotan dalam permainan dek kerana eksperimen dibuat Fandi untuk aksi akhir kejohanan berkenaan.
"Namun kini, saya kira Fandi sudah boleh menarik nafas lega dengan keputusan-keputusan positif tersebut," jelasnya.
Walaupun momentum dalam keadaan baik, namun Fandi masih perlu membaiki beberapa aspek dalam mutu permainan Sri Pahang jika benar mahu mencabar JDT.
Dengan ada seminggu untuk persiapan, persiapan rapi harus dibuat supaya Tok Gajah benar-benar bersedia dan dapat membawa pulang kejuaraan.
"Pada saya masih banyak untuk dibaiki, terutamanya dari segi kreativiti mencipta serangan, disiplin semasa bertahan serta kualiti individu sendiri di atas padang," komen dia lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram