Kejayaan 'ubi muda' Pahang di Singapura, suntik semangat Tok Gajah benam JDT final Piala Malaysia


  • Podium
  • Ahad, 20 Apr 2025

Perjuangan R.Oreo terhenti di tangan pasukan kuat BOAS FC melalui format 3 on 3 golden goal. — Facebook/RhinoAcademy

AKADEMI bola sepak dari Malaysia yang berpangkalan di Kuantan, Pahang iaitu Rhino Football Academy (FA) sudah mencapai kemuncaknya dalam kejohanan JSSL Singapore International edisi 2025.

Penyertaan akademi berpangkalan di Pantai Timur tanah air terbabit dalam kejohanan berprestij itu membuktikan bahawa bakat-bakat muda dari tanah air mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

Kehadiran dua pasukan utama iaitu R.Lexus dan R.Oreo, membawa harapan besar buat Malaysia untuk menampilkan aksi berkualiti dalam kategori bawah 14 tahun (B-14) yang disertai 32 pasukan dari seluruh dunia.

BACA LAGI: 'Sri Pahang sudah ada momentum jumpa JDT, cuma kena baiki pertahanan elak gawang bocor'

BACA LAGI: Menang lawan Penang tapi prestasi GK Pahang undang resah penyokong menjelang aksi final Piala Malaysia

Pasukan R.Lexus dan R.Oreo turun beraksi dengan semangat juang yang tinggi sejak hari pertama kejohanan apabila setiap pemain menunjukkan kesungguhan yang luar biasa dalam mempersembahkan corak permainan bertenaga dan tersusun.

Mereka melangkah ke setiap peringkat dengan tekad untuk membawa pulang kebanggaan buat akademi serta negeri Pahang. Namun begitu, jangkaan ramai untuk melihat pertembungan epik antara R.Lexus dan R.Oreo di peringkat suku akhir tidak kesampaian.

R.Lexus yang pada mulanya menunjukkan prestasi memberangsangkan, terpaksa akur di pusingan 16 terbaik selepas tewas dalam perlawanan format 2 on 2 menentang pasukan tangguh Goulois Academy. Perlawanan berakhir seri 2-2, namun nasib tidak menyebelahi mereka dalam kiraan penentuan.

Sebaliknya, tuah nyata memihak kepada R.Oreo yang berjaya membuktikan ketangkasan mereka apabila menewaskan pasukan yang sama, Goulois Academy, di peringkat suku akhir. Mereka mempamerkan permainan kemas dan taktikal yang tajam, membalas dendam atas kekalahan R.Lexus dengan kemenangan bergaya 2-0 hasil jaringan Irfan dan Akil.

Kejayaan ke separuh akhir mengangkat nama R.Oreo sebagai antara pasukan pilihan kejohanan. Namun, perjuangan mereka terhenti di tangan pasukan kuat BOAS FC dalam aksi mendebarkan yang ditentukan melalui format 3 on 3 golden goal. Walaupun tewas, R.Oreo telah memberi saingan sengit yang tidak dapat dinafikan kualitinya.

Rhino FA menamatkan kempen itu dengan pencapaian yang sangat membanggakan. R.Oreo berjaya meraih tempat ketiga bersama pasukan Euro Soccer dari Singapura, manakala R.Lexus berada dalam kelompok lapan terbaik, ia satu pencapaian luar biasa buat wakil Malaysia dalam kejohanan bertaraf antarabangsa tersebut.

Dalam pada itu, kejayaan berkenaan turut menjadi motivasi penting buat seluruh sistem pembangunan bola sepak negeri Pahang dengan ia membuktikan bahawa program akar umbi yang dirancang dan dilaksanakan dengan baik mampu melahirkan pemain berbakat untuk bersedia menghadapi cabaran di luar negara.

Lebih membanggakan, pencapaian tersebut turut menjadi suntikan semangat kepada skuad senior Sri Pahang menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 26 April.

Walaupun aras kertas, Harimau Selatan tampak lebih garang tetapi siapa tahu pasukan bimbingan Fandi Ahmad itu sudah menemui resipi istimewa untuk memberi kejuaraan Piala Malaysia kepada negeri Pahang.

Untuk rekod, Sri Pahang telah memenangi Piala Malaysia sebanyak empat kali, dan bakal turun ke Stadium Nasional Bukit Jalil ini sebagai pasukan bukan pilihan menentang juara bertahan dari Selatan tanah air.—Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram