Hampir pasti tinggalkan Kedah, Syafiq Ahmad disebut-sebut perkuat Selangor


  • Podium
  • Rabu, 16 Apr 2025

Syafiq Ahmad tidak sempat memberi impak terbaik bersama skuad Sang Kenari ekoran kecederaan. — Facebook/KDA FC

JODOH Syafiq Ahmad dengan Kedah Darul Aman (KDA) FC dilihat akan terlerai sekali lagi apabila dalam hantaran di media sosial peribadinya, dia memberi gambaran akan berkelana musim depan.

Dalam perkongsian di InstaStory, penyerang Harimau Malaya tersebut didapati mengemas barangan dari kediaman mereka dengan ini memberi gambaran dia akan sekali lagi meninggalkan Negeri Jelapang Padi itu.

Pemergian dari KDA FC tersebut dijangka diikuti kepulangannya ke pangkuan Johor Darul Ta'zim (JDT) yang masih merupakan majikan utamanya kerana perpindahannya sebelum ini hanya berstatus pinjaman semusim.

BACA LAGI: 'Bukan rezeki kami di Kedah', Syafiq Ahmad beri hint tinggalkan Sang Kenari buat kali ke-3

BACA LAGI: [VIDEO] Aksi Syafiq Ahmad jadi content creator buat ramai terhibur

Syafiq Ahmad sukar mendapat minit permainan bersama skuad Harimau Selatan.

Bagaimanapun, sekiranya Syafiq sah kembali menyertai skuad Harimau Selatan, terdapat kegusaran bahawa sentuhannya akan terus berkarat seperti mana disaksikan pada musim-musim sebelum ini.

Ini kerana penyerang kelahiran Pulau Pinang berkenaan lebih kerap memanaskan bangku simpanan sejak bersama kelab itu disebabkan lambakan pemain import seperti Bergson da Silva, Heberty Fernandes dan Romel Morales.

Malah, melihat kepada statistik bersama JDT musim lalu, Syafiq hanya sempat beraksi dalam 10 perlawanan dengan tiga gol sempat dicatatkan dengan peluang terhad itu menyaksikan potensinya semakin merudum.

Jadi, dengan khidmatnya seperti tidak lagi diperlukan di Selatan tanah air, terdapat kemungkinan pemain berusia 29 tersebut akan sekali lagi berkelana pada jendela perpindahan akan datang.

Meskipun terdapat pelbagai pilihan dalam Liga Super ketika ini, peminat bola sepak beranggapan skuad Gergasi Merah merupakan destinasi terbaik melihat kepada struktur pasukan ketika ini.

Syafiq Ahmad memberi gambaran akan meninggalkan skuad Sang Kenari buat sekali lagi.

"Syafiq Ahmad bersama Selangor musim depan?" soal The Red Eagle - Helang Merah.

"Ikutlah Kalamullah (Al-Hafiz), selamat datang ke The Red Giants," kata Izwan Shah Property.

"Jika dia mahu mendapatkan minit permainan, memang Selangor lah tempatnya," kata Zakaria Zainal.

Perpindahan itu sudah tentu menjadi impian penyokong skuad Gergasi Merah kerana ketika ini, tiada penyerang tempatan terbaik dalam pasukan dengan Danial Asri gagal memberi saingan terhadap Ronnie Fernandez.

Namun, umum mengetahui bahawa JDT dan Selangor FC memiliki hubungan yang agak dingin, sekali gus membuatkan kemungkinan untuk merealisasikan perpindahan itu semakin sukar.

Bagaimanapun, sekiranya kontrak Syafiq bersama skuad Harimau Selatan berakhir, tiada sebarang penghalang untuknya menyertai kelab Lembah Klang itu dengan harapan kariernya dapat kembali ke landasan.

Untuk rekod, bersama skuad Sang Kenari musim ini, pemain tersebut sempat merekodkan 15 penampilan secara keseluruhan dengan dua gol dan satu bantuan jaringan dicatatkan sebelum dia terpaksa berehat akibat kecederaan dialami semasa kempen Piala AFF. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram