
SAINGAN Liga Super 2024/25 sudah melabuhkan tirainya selepas semua pasukan bertanding sudah melengkapkan 24 perlawanan dengan pelbagai momen disaksikan di dalam dan luar padang.
Seperti diramal, Johor Darul Ta'zim (JDT) tampil mempertahankan gelaran buat kali ke-11 berturut-turut dengan pencapaian itu diraih tanpa sebarang kekalahan dialami gergasi bola sepak tempatan itu.
Kejayaan tersebut menyaksikan kelab tersebut layak ke Liga Juara-Juara AFC (ACL) Elite musim depan sementara Selangor FC bakal bersaing di ACL Two selepas muncul naib juara.
BACA LAGI: MFL perlu pulih kepercayaan ramai, lantik CEO ikut reputasi dan pengalaman — Zulakbal
BACA LAGI: Fans dah tahu siapa menang, muak kelab bubar asbab jualan tiket final Piala Malaysia sendu — Pakar
Zulakbal mendapati masalah dan situasi sama dapat disaksikan dalam saingan Liga Super 2024/25.
Bagaimanapun, liga yang sepatutnya diwarnai kemeriahan itu menampilkan hal sebaliknya apabila isu timbul sehingga melunturkan semangat orang ramai untuk mengikuti perkembangan.
Topik utama sudah tentu ditujukan kepada masalah gaji yang sekali lagi berulang, malah dilihat semakin memburuk apabila lebih daripada separuh pasukan Liga Super bergelut dengan masalah kewangan.
Situasi itu sekali gus menjadi punca utama ramai tidak lagi berminat untuk melaburkan wang dan tenaga untuk hadir memberi sokongan sehingga menyaksikan stadium sepi dari perlawanan ke perlawanan.
Pandangan itu turut dipersetujui pemerhati bola sepak tempatan, Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim yang sempat berkata, isu tersebut boleh diselesaikan jika terdapat keazaman pihak bertanggungjawab sambil menegaskan saingan Liga Super tidak lagi kompetitif.
"Pada pengamatan saya, musim 2024/25 tidak banyak perubahan memandangkan perkara sama berlaku. Seperti mana dibincang dahulu, liga kita tidak berdaya saing. Walaupun ramai pemain import dan naturalisasi tiba, ia mudah untuk dijangka. Pelbagai isu itu sudah menutup prestasi dan potensi pasukan.
MFL sebagai badan pengelola Liga Super perlu segera mencari solusi kepada isu yang timbul.
"Masalah sama masih berulang, tetapi ia sebenarnya boleh diatasi sekiranya pihak pentadbiran liga dan pengurusan kelab ada kesungguhan. Jika mereka mahu berubah, mereka boleh berubah," katanya kepada Majoriti.
Selain masalah gaji, isu-isu berulang musim ini termasuk kualiti padang, pengurusan tidak cekap serta kualiti pemain import dibawa masuk yang sudah berkali-kali dibincangkan.
Tetapi, sehingga hari ini, tiada sebarang langkah proaktif diambil meskipun peminat terus mendesak badan pengelola, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) supaya mencari solusi segera.
Jika tiada penyelesaian diambil dalam masa terdekat, tidak mustahil sekiranya saingan akan datang bakal terus sepi dengan orang ramai tidak mahu mengikuti arena bola sepak tempatan.
"Saya percaya ramai dalam kalangan peminat ingin melihat perubahan, namun sehingga ke hari ini, walaupun terdapat perubahan dalam tampuk pemerintahan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sudah berubah, tiada kelihatan perbezaan yang drastik terhadap liga.
"Apa yang saya dengar hanyalah pasukan remaja yang dahulunya digeruni sudah mula 'tutup kedai'. Saya fikir, ini menjadi topik utama dalam senario bola sepak tempatan sekarang ini," kata Zulakbal lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram