MFL perlu pulih kepercayaan ramai, lantik CEO ikut reputasi dan pengalaman — Zulakbal


  • Podium
  • Sabtu, 22 Feb 2025

Jawatan CEO MFL kembali kosong selepas Rossi sah berpisah dengan badan pengelola liga itu. — Facebook/MFL

SELEPAS pengumuman bahawa Giorgio Pompili Rossi tidak lagi menjawat jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), ramai pihak berpendapat bahawa penggantian CEO yang berkaliber adalah langkah penting.

Ini bagi memastikan MFL tidak kehilangan kepercayaan daripada pemegang taruh yang dalam konteks ini pihak kelab, penyokong dan syarikat berpotensi untuk menjadi penaja Liga Super mahupun entiti lokal atau antarabangsa.

Pemegang taruh pastinya bergantung kepada kepimpinan yang kukuh untuk mengurus dan memajukan liga dan ketidakstabilan dalam kepimpinan boleh menjejaskan keyakinan mereka.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Masih belum move on', Arif Aiman gula-gulakan kiper antara 3 momen terbaik disajikan JDT di SSI

BACA LAGI: Budaya kerja, cuaca, pemakanan di Malaysia mungkin jadi faktor Rossi undur diri CEO MFL

Rossi (kanan) yang merupakan Delegasi La Liga Malaysia itu menggantikan posisi Datuk Stuart Ramalingam. — Facebook/MFL

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Prof Madya Zulakbal Abd Karim berpendapat bahawa MFL perlu melantik seseorang yang berkualiti dan berpengalaman untuk memperbaiki serta menguatkan imej badan pengelola liga tersebut.

Bukan itu sahaja, seseorang yang dilantik perlu memastikan semua aspek pengurusan liga dapat dijalankan dengan baik dan lancar.

"Saya percaya, walaupun kejadian ini baru berlaku, masalah-masalah lain telah pun timbul sebelum ini.

"Kelab-kelab dan pemiliknya yang bergantung kepada MFL, pasti akan kehilangan kepercayaan sekiranya MFL tidak segera menggantikan CEO dengan seseorang yang berkaliber dan mempunyai reputasi yang tinggi," katanya kepada Majoriti.

Rossi tidak lagi menyandang tugas sebagai CEO MFL selepas lima bulan mengemudi badan pengelola liga itu.

Selepas keputusan mengejut MFL mengumumkan bahawa Rossi sudah tidak lagi menggalas tugas sebagai CEO, Zulakbal berpendapat penggantian dengan individu berpengalaman dan reputasi dihormati adalah langkah yang sangat penting. 

Zulakbal juga memberi contoh bagaimana Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengendalikan badan induk itu dengan membawa masuk kepakaran dari luar negara, termasuk dari Australia dan Amerika Utara.

"Kita juga tahu bahawa FAM kini sedang menjalankan revolusi, melibatkan pengambilan orang luar dari Australia untuk menguruskan pasukan kebangsaan.

"Oleh itu, jika MFL juga menggantikan CEO dengan orang yang berpengalaman, ia akan membantu mengembalikan keyakinan semua pihak yang terlibat," katanya.

Zulakbal berpendapat bahawa pemegang taruh bergantung kepada kepimpinan yang stabil dan berwibawa untuk memastikan liga berjalan dengan lancar. 

Menurutnya, jika badan pengelola liga gagal mendapatkan individu yang tepat sebagai CEO, ia pasti akan merugikan perkembangan bola sepak tanah air.

"Jika MFL gagal berbuat demikian dengan segera, saya percaya pemegang taruh akan terus kehilangan kepercayaan dan akan bersikap sinis terhadap MFL, walaupun usaha-usaha lain yang dilakukan," kongsinya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, Instagram dan Telegram