
SITUASI membimbangkan mula berlaku menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia 2024/25 apabila jualan tiket kedua-dua pasukan tidak menerima sambutan hangat seperti mana pernah disaksikan dahulu.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sri Pahang FC, Datuk Suffian Awang sebelum ini menyatakan kegusaran apabila hanya 8,633 tiket terjual daripada 32,000 yang sudah diperuntukkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) buat kelab Pantai Timur itu.
Ini merupakan satu situasi menghairankan kerana seperti mana umum mengetahui, skuad Tok Gajah memiliki jumlah penyokong yang cukup ramai, lebih-lebih lagi setiap kali mereka melangkah ke perlawanan sebesar itu.
BACA LAGI: Terlalu bergantung bukti KDA FC bukan capai taraf kelab profesional — Zulakbal
BACA LAGI: MFL perlu pulih kepercayaan ramai, lantik CEO ikut reputasi dan pengalaman — Zulakbal
Penyokong Tok Gajah dahulunya cukup teruja setiap kali pasukan mereka melangkah ke perlawanan akhir.
Bagaimanapun, dengan kurang daripada 10,000 tiket terjual, ini menunjukkan kesungguhan yang satu ketika dahulu dicemburui pasukan Liga Super lain sudah mula pudar dan sukar dihidupkan semula.
Mengulas akan isu tersebut, Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim berkata, punca permasalahan perlu diselidik bagi memahami sebab di sebalik keengganan penyokong untuk hadir memberi sokongan pada hari perlawanan.
"Kita perlu lihat daripada akar untuk mengetahui apakah faktor ia berlaku. Seperti kita tahu, Pahang mempunyai ramai penyokong tegar, tetapi kenapa ketegaran itu sudah pudar? Pertama, saya percaya antara sebabnya adalah kerana mereka sudah muak dengan liga kita, termasuk dalam Piala Malaysia.
"Tiada lagi saingan dan kita sudah tahu pasukan mana akan jadi juara. Yang kedua, terdapat pelbagai perkara yang memenatkan penyokong. Sebagai contoh, persoalan mengenai sama ada pasukan akan dibubar atau tidak dan sebagainya.
Zulakbal beranggapan pelbagai isu di luar padang menjadi isu di sebalik kemeriahan yang semakin pudar.
"Ini sekali gus menyebabkan minda penyokong letih dan tidak mahu lagi mengikuti perkembangan. Kita boleh katakan mereka hilang selera untuk mengambil tahu. Jadi, tidak mungkin mereka mahu bersusah payah dan berkorban untuk ke perlawanan akhir," katanya kepada Majoriti.
Dilema MFL untuk menjual tiket Piala Malaysia diburukkan lagi apabila penyokong sebuah lagi finalis merangkap juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT) juga tidak bersemangat menghadiri perlawanan.
Berdasarkan laporan terbaru, hanya 15,000 tiket terjual dengan ia menjadi petanda penyokong skuad Harimau Selatan sudah mula berfikir-fikir untuk mengorbankan masa, wang dan tenaga untuk memberi sorakan.
Ini merupakan satu situasi yang pasti membimbangkan MFL kerana tinggal 10 hari berbaki sebelum pertembungan antara kedua-dua pasukan itu di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur (KL).
Penyokong JDT juga seperti kurang bersemangat untuk hadir ke Stadium Nasional Bukit Jalil. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Bagaimanapun, bagi Zulakbal, masih terdapat cara untuk badan pengelola liga itu untuk menarik peminat supaya hadir kerana kegagalan berbuat demikian hanya akan membawa kerugian kepada mereka sendiri.
"Saya fikir untuk jangka masa pendek, mereka boleh memberikan tiket percuma tetapi tidak tahulah amaun sepatutnya. Selain itu, MFL sendiri perlu tubuhkan pihak publisiti bagi memberikan cara terbaik kepada kelab yang bertanding.
"Mereka juga boleh wujudkan hubungan baik bersama sekolah berhampiran untuk tanamkan minat dalam generasi baharu untuk menyokong. Pihak MFL juga boleh guna cara aktifkan 'cyber troopers' bagi menarik minat menerusi media sosial," katanya lagi.
Berdasarkan perkiraan, masih terdapat sekurang-kurangnya 10 hari bagi badan pengurusan bola sepak tempatan itu untuk mencari solusi dalam menghangatkan semula kemeriahan bagi perlawanan akhir antara JDT dan Sri Pahang FC itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram