
MESKIPUN mengalami masalah kewangan serius di luar padang, musim Perak FC ketika ini masih boleh dipuji kerana kelab tersebut tidak putus memberi peluang buat pemain muda.
Pendekatan diambil pengendali pasukan, Yusri Che Lah tersebut bukanlah sesuatu yang baharu kerana sejak dilantik pada pertengahan kempen 2023, dia kerap meletakkan 'ubi muda' dalam kesebelasan utama.
Kepercayaan diberikan itu jelas membuahkan hasil memandangkan musim ini, skuad The Bos Gaurus (TBG) menamatkan kempen di tangga ketujuh hasil 30 mata yang dikutip daripada lapan kemenangan dan enam keputusan seri.
BACA LAGI: Kelompok pertengahan liga tetap jadi sasaran Perak FC berbaki 4 aksi lagi
BACA LAGI: Lepas sebulan berstatus ejen bebas, Luka Milunovic sertai Nemanja Vidic di kelab kerdil Serbia
Shivan merupakan pemain pertahanan muda yang cukup berpotensi musim ini.
Salah seorang pemain muda yang tidak pernah hilang keyakinan daripada Yusri ialah Shivan Pillay meskipun pasukan tersebut kerap membawa masuk bek tengah import dua musim kebelakangan ini.
Dia yang menyertai Perak FC dari Petaling Jaya (PJ) City FC dua musim lalu pada awalnya menerima kepercayaan daripada Datuk Lim Teong Kim sebelum diteruskan jurulatih kelahiran Perlis tersebut.
Bagaimanapun, tempoh perkhidmatannya bersama skuad TBG mungkin akan berakhir selepas dua kelab menyatakan minat terhadap pemain pertahanan berusia 24 tahun terbabit pada jendela perpindahan kali ini.
"Difahamkan bahawa pertahanan tengah Perak, Shivan Pillay sedang dipantau oleh Negeri Sembilan dan Kedah Darul Aman (KDA) FC. Berusia 24 tahun, dia merupakan pertahanan selesa bermain daripada bawah. Pertahanan yang tenang, berdisiplin dan bekerja keras," tulis pemerhati sukan, T Avineshwaran di laman X.
KDA FC dan Negeri Sembilan FC dilaporkan cukup berminat dengan khidmat Shivan Pillay.
Selain kerap melakukan hantaran tenang kepada rakan sepasukan, dia mempunyai keberanian dan keyakinan untuk melakukan asakan terhadap pihak lawan dalam usaha mengekang pintu gawang sendiri daripada dibolosi.
Tidak cukup dengan itu, Shivan juga wajar diberi pujian kerana sepanjang dua musim bersama skuad TBG, dia mudah menimba pengalaman di samping rakan yang lebih berpengalaman dalam barisan pertahanan seperti Luiz Motta dan Jesper Nyholm.
Berdasarkan statistik, pemain kelahiran Kuala Krai, Kelantan itu diturunkan sebanyak 24 kali dalam semua kejohanan musim ini dengan tiada sebarang sumbangan di hadapan gol lawan direkodkan.
Namun, kehadiran Shivan dalam barisan pertahanan membolehkan Perak FC tidak dibolosi sebanyak enam kali dengan catatan tersebut membuktikan kepentingannya dalam pasukan.
Oleh itu, pihak pengurusan kelab sudah tentu akan terus mencari cara untuk mengelakkan pemain pertahanan tersebut berpindah sekiranya mereka terus bersaing dalam Liga Super musim depan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram