
PENUTUP saingan Liga Super 2024/25 menandakan pembukaan tirai jendela perpindahan dengan rata-rata kelab sudah mengenal pasti kelemahan yang perlu ditambah baik sebelum saingan musim depan bermula.
Bagaimanapun, ada pula yang akan berdepan situasi sebaliknya iaitu kehilangan tonggak utama dalam pasukan disebabkan keputusan masing-masing untuk tidak menyambung kontrak.
Ini termasuk dua tonggak utama Sabah FC, Stuart Wilkin dan Dominic Tan yang mahu berkelana, namun difahamkan menjadikan Thailand sebagai destinasi baharu dalam karier.
BACA LAGI: 'You deserve better', Dominic Tan tinggalkan mesej menyentuh hati buat Kim Swee
BACA LAGI: Di saat ramai pilih keluar, 3 bintang mungkin kekal setia bersama Sabah FC
Khabar angin kuat mengatakan Dominic Tan serta Stuart Wilkin sudah dilamar kelab di negara jiran.
Dalam satu hantaran di laman X pemerhati sukan, Zulhelmi Zainal Azam, terdapat khabar angin kedua-dua pemain tersebut akan berkelana pada jendela perpindahan kali ini dengan tiada sebarang kenyataan dikeluarkan pihak kelab.
"Dari KK (Kota Kinabalu) ke Bangkok, difahamkan Stuart Wilkin dan Dominic Tan antara pemain Harimau Malaya yang dapat tawaran kelab Thailand," tulisnya pada Ahad.
Sekiranya perpindahan itu dimeterai, ia akan menjadi kehilangan besar buat skuad Sang Badak kerana sepanjang tiga musim lalu, dua bintang tersebut menjadi watak utama pasukan.
Dominic Tan yang merupakan bek skuad kebangsaan kerap menjadi penyelamat dalam barisan pertahanan dengan kesungguhan menutup kesilapan sendiri serta rakan sepasukan merupakan kekuatan utamanya.
Kelebihan tersebut sedikit sebanyak menjadikan kelab Thailand berminat dengan khidmatnya dengan dia juga pasti terbuka dengan perpindahan tersebut selepas pernah beraksi di sana selama kira-kira dua tahun bersama Police Tero FC.
Dominic Tan pernah beraksi di Thailand bersama Police Tero FC.
Bagi Stuart Wilkin pula, dia yang tidak berpengalaman di negara jiran juga pasti tertarik akan tawaran terbabit kerana secara tidak langsung, ia akan memberi peluang buatnya terus berkembang.
Pemain berdarah kacukan itu pernah beraksi di England dan Amerika Syarikat sebelum tiba di tanah air dengan tempoh dihabiskan di sana menjadikannya seorang bintang terbaik dalam posisinya.
Ini kerana sejak menyertai Sabah FC, pemain berusia 27 tahun itu sudah berjaya membuktikan kebolehan sebenarnya kerana setiap kali Harimau Malaya beraksi, namanya akan terlebih dahulu diletakkan dalam kesebelasan utama.
Sekiranya skuad Sang Badak kehilangan kedua-dua tonggak mereka tersebut, ini akan mencipta kekosongan besar dalam pasukan, lebih-lebih lagi sekiranya mereka layak bertanding dalam Piala Shopee musim depan.
Bagaimanapun, bagi Harimau Malaya pula, pengalaman boleh diraih Stuart Wilkin dan Dominic Tan diharapkan mampu meningkatkan keupayaan mereka dari aspek fizikal mahupun mental. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram