
MUSIM Liga Super 2024/2025 sudah pun berakhir dan bagi Selangor FC, mereka menamatkan saingan di tempat kedua sekali gus berjaya mara ke Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2).
Walaupun layak, dilihat beberapa pemain akan meninggalkan kelab terutamanya dalam kalangan pemain import.
Mereka memainkan peranan penting dalam skuad Selangor. Dengan pemergian mereka, pengurusan Gergasi Merah harus pantas mendapatkan bintang berkualiti bagi musim depan.
BACA LAGI: Safuwan pilih pulang ke kampung halaman, sertai bakal juara ACL2
BACA LAGI: Lagu See You Again jadi klu jodoh Safuwan Baharudin bersama Gergasi Merah terlerai sudah
Safuwan Baharudin
Selangor kehilangan ketua pasukan mereka iaitu Safuwan Baharudin dengan pemain antarabangsa Singapura itu dilaporkan akan kembali ke negaranya.
Pemain itu dilaporkan akan menyertai Lion City Sailors (LCS) dengan perpindahannya hanya menanti pengumuman rasmi oleh kelab.
Safuwan dijangka kembali semula ke Singapura.
Dari perspektif Selangor, mereka kehilangan seorang pemain senior dan ketua yang boleh memimpin di padang. Oleh itu, mereka perlu mencari pemain serupa namun dengan usia lebih muda.
Ketika ini, mereka mempunyai Harith Haiqal dan Sharul Nazeem namun tambahan harus dibuat untuk menjadikan Selangor kekal kompetitif.
Nikola Jambor
Pemain berasal dari Croatia itu juga dilaporkan akan meninggalkan Selangor selepas musim berakhir.
Nikola Jambor yang beraksi sebagai pemain tengah, menunjukkan kualitinya yang tersendiri dan sering diturunkan dalam majoriti perlawanan Selangor sejak tiba pada September 2024.
Jambor menyerlah di bahagian tengah Selangor.
Musim ini, Jambor melakukan 16 penampilan dalam kejohanan domestik dan Asia buat Selangor sambil menghasilkan dua bantuan gol.
Persembahannya dianggap baik dan jarang menerima kritikan. Oleh itu, Selangor perlu mencari pemain yang lebih baik berbandingnya jika benar Jambor dilepaskan.
Mohammad Abualnadi
Seorang lagi pemain dijangka akan meninggalkan Selangor adalah pertahanan kiri dari Jordan, Mohammad Abualnadi.
Pemain itu hadir sebagai "penyelamat" di saat penyokong berasa gusar kerana pertahanan kiri Selangor dilihat mengalami masalah. Dengan kehadirannya, posisi tersebut dilihat lebih baik ditambah pemain sedia ada seperti Fazly Mazlan dan Zikri Khalili.
Abualnadi membawa kestabilan di posisi pertahanan kiri.
Abualnadi banyak diturunkan ketika tugasan Asia dengan dia bermain lima daripada enam aksi peringkat kumpulan sambil bermain enam kali dalam Liga Super.
Jika Selangor masih berminat untuk mendapatkan Abualnadi, mereka perlu pantas mengikat kontrak kerana umurnya masih lagi muda dan boleh menyumbang lebih lama untuk Gergasi Merah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram