
KEDAH Darul Aman (KDA) FC akhirnya berjaya membawa pulang mata selepas mencatatkan keputusan seri ketika berdepan Sabah FC selepas mengalami lima kekalahan berturut-turut dalam saingan Liga Super.
Dalam pertembungan yang diadakan di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah menunjukkan semangat juang pemain Sang Kenari hingga berhasil mendapatkan satu gol menerusi sepakan penalti daripada Amirul Hisyam Awang Kechik.
Perlawanan terakhir di laman sendiri itu boleh dianggap penutup indah untuk penyokong di Darul Aman susulan kesungguhan pemain dan erti tidak putus asa daripada pengendali, Victor Andrag dalam menghabiskan permainan meskipun pelbagai rintangan berlaku.
BACA LAGI: [VIDEO] JDT tak kebal mana, Kedah antara 4 pasukan tambat seri Harimau Selatan
BACA LAGI: Bantu Kedah tamat badi kalah, Wan Syazmin terkejut gaya intensiti tinggi Sabah
Ini kerana isu tunggakan gaji dialami kelab tersebut menyaksikan sebilangan pemain mengambil keputusan meninggalkan pasukan tersebut selain enggan hadir ke sesi latihan mahupun berada dalam skuad untuk hari perlawanan.
Tumpah air mata Victor Andrag selepas tamat aksi terakhir Kedah di Stadium Darulaman mengenang kepayahan di lalui pasukannya sepanjang musim ini.. pic.twitter.com/JRLjA1C2qR
— FinaNasrom (@fnasrom) April 13, 2025
Victor sebelum ini mengambil tampuk kejurulatihan KDA FC selepas Nafuzi Zain meninggalkan pasukan tersebut untuk menyertai skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara pada November lalu.
Meskipun perlu mengendalikan pasukan serba kekurangan, bekas kapten Kedah itu masih membawa beberapa kenangan manis buat penyokong dengan dua kemenangan daripada sembilan perlawanan dicatatkan.
Sikap tidak toleh belakang yang ditonjolkan Victor dalam mengendalikan Kedah di waktu sulit seperti sudah mengikut resipi daripada pengendali Liga Super yang pernah mengalami situasi sama sepertinya.
1) Fandi Ahmad (Sri Pahang, 2024/25)
Fandi memastikan Pahang sekurang-kurangnya mencatat satu final pada musim ini. — Facebook/SriPahang
Sri Pahang FC musim ini juga tidak lari daripada masalah kewangan dengan ia sudah mula dikhabarkan berlaku sejak awal 2024 namun sehingga kini, pihak pengurusan Tok Gajah hanya mengemabil pendekatan berdiam diri.
Situasi pemain-pemain Tok Gajah berkongsi mengenai masalah itu di platform media sosial masing-masing menyebabkan penyokong mengetahuinya dan sudah tidak terkejut jika ia menjadi punca kemerosotan prestasi mereka dalam liga.
Di sebalik isu tunggakan gaji itu, pengendali mereka iaitu Fandi Ahmad masih setia membimbing Tok Gajah dan memberikan sepenuh jiwa raga hingga menyaksikan Pahang berhasil mara ke final Piala Malaysia selepas 11 tahun.
Sejak dilantik menjadi pengendali Pahang pada Januari 2023, tiada khabar angin Fandi mahu bertukar kelab dek isu yang berlaku. Sebaliknya pengendali dari Singapura itu tetap menjalankan tugasnya untuk meningkatkan moral pemain.
Usahanya berhasil apabila tunggakan gaji Sri Pahang sudah dibayar sepenuhnya pada Ramadan lepas dan meningkatkan motivasi mereka untuk final Piala Malaysia menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 26 April ini.
2) Yusri Che Lah (Perak FC, 2021)
Yusri komitmen bersama Tok Gajah walaupun isu tunggakan gaji kerap berulang. — Facebook/PerakFC
Yusri Che Lah menunjukkan kesetiaan yang tinggi apabila kekal bersama Perak FC sepanjang musim 2021. Dalam keadaan pasukan yang berdepan pelbagai cabaran, termasuk masalah kewangan dan prestasi tidak menentu, dia tetap memilih untuk bersama skuad tersebut.
Ketika ramai pemain utama meninggalkan pasukan akibat isu tunggakan gaji, Yusri terus memberi kepercayaan kepada bakat baharu dengan pendekatan itu bukan sahaja memastikan kelangsungan pasukan, malah membuka ruang untuk pembangunan jangka panjang bola sepak Perak.
Sepanjang musim 2021, Perak FC bergelut di saingan Liga Super Malaysia dan akhirnya mengalami penyingkiran ke Liga Perdana. Walaupun begitu, Yusri tidak menyalahkan sesiapa, sebaliknya kekal positif dan terus bekerja keras bersama barisan kejurulatihan.
Masalah gaji Perak berulang lagi pada musim ini selepas baru-baru ini dilaporkan, skuad TBG dikatakan tidak mampu membayar 50 peratus gaji pemain dan terpaksa menyambut Aidilfitri tanpa gaji.
Walaupun begitu, pasukan bimbingan Yusri masih mampu merekodkan satu seri dan kemenangan ke atas Kuala Lumpur City dalam tiga perlawanan terakhir. Ia menunjukkan satu dedikasi yang baik daripada Yusri dan anak-anak buahnya.
3) Datuk Ong Kim Swee (Sabah, 2024)
Kim Swee memimpin Sabah FC hampir empat tahun. — Facebook/SabahFC
Bekas pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee yang tiba ke Borneo tanah air pada musim 2021 dan sejak itu, beliau berjaya memberikan kestabilan kepada pasukan dan menghuni kedudukan lima terbaik liga.
Kim Swee juga turut membantu Sabah kembali menjadi pasukan yang digeruni satu ketika dahulu. Hasil bimbingan beliau, Sabah berjaya menamatkan saingan Liga Super di kedudukan ketiga musim 2022 sekali gus layak ke pertandingan Piala AFC.
Kesetiaan Kim Swee bersama Sang Badak diuji apabila pengendali berusia 52 itu dikaitkan dengan perpindahan semula ke Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ketika masalah kewangan menyinggah di kem Sabah.
Bagaimanapun, pada Julai 2024, kemelut dalaman Sang Badak semakin hangat diperkatakan dalam kalangan penyokong dengan ada khabar angin mendakwa bahawa para pemain Sabah FC didakwa mengalami tunggakan gaji sehingga enam bulan.
Selepas beberapa bulan menjadi topik utama, masalah gaji Sabah difahamkan sudah beransur pulih dan OKS membantu meletakkan The Rhinos dalam kelompok tiga teratas sebelum menyertai Persis Solo pada November 2024. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram