'Hakikatnya busuk seperti bangkai', masalah gaji Perak FC, Wan Zack Haikal sifatkan diri tak ubah seperti pengemis jalanan


  • Podium
  • Khamis, 17 Apr 2025

Tonggak Perak FC, Wan Zack Haikal (kanan). — Facebook/Perakfc

"HAKIKATNYA busuk seperti bangkai."

Demikian luahan kecewa tonggak Perak FC, Wan Zack Haikal Wan Noor berhubung isu dalaman pasukan yang dipercayai berkaitan tunggakan gaji.

Menerusi satu hantaran di Insta Story miliknya baru-baru ini, Wan Zack seolah-olah memberi bayangan bahawa skuad The Bos Gaurus (TBG) sedang berdepan situasi kritikal ketika ini.

BACA LAGI: Isu pingat naib johan MSSD Semporna ditarik selesai secara baik, sedia buat siasatan susulan — Fadhlina Sidek

BACA LAGI:  'Bukan rezeki kami di Kedah', Syafiq Ahmad beri hint tinggalkan Sang Kenari buat kali ke-3

Tangkap layar Insta Story Wan Zack. 

Dalam hantaran berkenaan, Wan Zack tidak menyatakan secara langsung punca sebenar kekecewaannya, namun memberi bayangan jelas mengenai keadaan tidak memuaskan yang sedang dihadapi oleh pemain-pemain.

Lebih menyedihkan, pemain berpengalaman itu turut menyifatkan keadaan semasa pasukan Perak FC tak ubah seperti pengemis jalanan. 

"Nampaknya macam tiada apa-apa yang berlaku, pada hakikatnya semua busuk seperti bangkai! Ditinggalkan seperti seorang pengemis jalanan.

"Diam dan sabar serta redho dengan keadaan adalah yang paling baik tetapi terdetik dalam hati kecik ini ingin bertanya. Sampai bila? Sampai bila persoalannya?," tulisnya. 

Meskipun tidak menyatakan secara terperinci punca sebenar kekecewaannya, hantaran tersebut jelas membayangkan wujudnya situasi tidak memuaskan yang sedang dihadapi oleh barisan pemain Perak FC ketika ini.

Sebelum ini, pasukan Perak FC dilaporkan berdepan masalah dalaman yang mengakibatkan gaji pemain tidak dibayar sepenuhnya.

Lebih mengecewakan, skuad TBG dikatakan tidak mampu membayar 50 peratus gaji pemain dan terpaksa menyambut Aidilfitri tanpa gaji.

Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Azim Zabidi pada Khamis juga mengakui sedang berusaha untuk menyelesaikan kemelut tersebut, selain bakal mengadakan pertemuan bersama pemain dalam masa terdekat.  — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram