Sukar tembus skuad utama, TBG-Penang FC antara destinasi terbaik 3 bintang Piala MFL termasuk 'ubi muda' JDT


  • Podium
  • Jumaat, 18 Apr 2025

Kejohanan Piala MFL tidak akan dipertandingkan pada musim 2025/2026. — Facebook/MFL

 

 

KEPUTUSAN Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk membubarkan Piala MFL mendapat pelbagai reaksi, dengan ramai pihak melihatnya sebagai langkah tepat berikutan kesan besar terhadap kewangan pasukan-pasukan yang terlibat.

Walaupun ia menutup satu lagi ruang persaingan, namun pembubaran itu dilihat mampu membuka peluang baharu, terutamanya untuk pemain muda yang sukar tembus ke skuad utama pasukan Liga Super.

Salah satu isu utama yang timbul selepas pembubaran Piala MFL adalah ketidakseimbangan dalam penggunaan pemain muda dalam Liga Super.

BACA LAGI: Hampir pasti tinggalkan Sabah, Saddil ada 2 destinasi pilihan termasuk kembali ke pangkuan OKS

BACA LAGI: 'Bukan rezeki kami di Kedah', Syafiq Ahmad beri hint tinggalkan Sang Kenari buat kali ke-3

Walaupun banyak pasukan telah melabur dalam bakat muda, peluang untuk pemain-pemain tersebut mendapat minit permainan dalam skuad utama semakin sukar.

Kebanyakan pasukan lebih mengutamakan pemain senior dan import, yang dianggap lebih berpengalaman dan berdaya saing. Ini menyebabkan 'ubi muda' sering diketepikan walaupun mempunyai potensi yang besar.

Namun, beberapa pasukan seperti Perak FC, Penang FC dan Kuching City FC kini muncul sebagai destinasi terbaik bagi pemain muda yang ingin mencari peluang untuk bermain.

Ketiga-tiga pasukan yang tidak memiliki banyak pemain import, memberi lebih banyak ruang untuk 'ubi muda' menunjukkan kebolehan mereka.

Oleh itu, Majoriti menyenaraikan tiga pemain berpeluang untuk mendapatkan minit permainan dengan berhijrah ke kelab lain.

1. Hakimi Isa

Penyerang muda PDRM FC Bawah 23 Tahun (B-23), Muhd Hakimi Mat Isa dilihat berpeluang besar untuk kembali menyarung jersi Perak FC susulan pembubaran kejohanan Piala MFL baru-baru ini.

Kepulangan Hakimi ke skuad The Bos Gaurus (TBG) bukanlah sesuatu yang asing, memandangkan pemain berusia 24 tahun itu pernah beraksi bersama pasukan tersebut sebelum ini.

Pengalaman dan kefahaman terhadap DNA kelab memberi kelebihan tersendiri buat Hakimi sekiranya perpindahan ini menjadi kenyataan.

Hakimi antara pemain muda semakin meningkat dalam Perak FC sebelum berhijrah ke PDRM FC. — Facebook/Perak

Dikenali dengan kepantasan serta kelincahannya di jentera serangan, Hakimi dilihat sebagai potensi penyelesaian kepada masalah ketumpulan barisan depan Perak FC musim ini.

Lebih menarik, gaya permainan Hakimi juga dilihat serasi dengan pendekatan ketua jurulatih Perak, Yusri Che Lah yang terkenal gemar memberikan peluang kepada pemain muda.

2. Gabriel Nisterooy

Penjaring terbanyak Piala MFL, Gabriel Nistelrooy dilihat wajar mempertimbangkan langkah untuk mengembangkan kariernya bersama Kuching City FC selepas kejohanan tersebut dibubarkan.

Sebagai anak jati Sarawak, keputusan untuk kembali ke tanah kelahirannya bukan sahaja memberi peluang beraksi lebih konsisten, malah berpotensi menjadikannya ikon bola sepak negeri itu.

Jika terus kekal bersama Johor Darul Ta’zim (JDT), Gabriel dijangka menghadapi cabaran besar untuk menembusi kesebelasan utama pasukan.

Penyerang muda JDT II dilihat wajar untuk mengembangkan kariernya bersama The Cats.

Ini kerana JDT secara konsisten menyandarkan harapan di bahagian serangan kepada pemain import atau tonggak senior yang memiliki pengalaman luas, sekali gus menyukarkan peluang buat pemain muda seperti Gabriel untuk menyerlah.

Walaupun bergelar penjaring terbanyak Piala MFL, realitinya tempat dalam skuad utama JDT sangat kompetitif dan terhad. Maka, perpindahan ke Kuching City dilihat sebagai langkah tepat jika Gabriel mahu mengekalkan ketajamannya dan terus berkembang sebagai penyerang berkualiti.

3. Omid Musawi

Pemain antarabangsa Afghanistan, Omid Musawi yang merupakan rekrut Selangor FC, dilihat perlu mempertimbangkan langkah untuk mengembangkan kariernya bersama Penang FC musim depan.

Meskipun Selangor FC merupakan antara kelab gergasi Liga M yang memiliki struktur profesional dan daya saing tinggi, cabaran untuk menembusi kesebelasan utama skuad Red Giants bukanlah sesuatu yang mudah.

Persaingan sengit di posisi tengah dan serangan, ditambah pula dengan kehadiran pemain import serta bintang tempatan berprofil tinggi, boleh menyekat peluang Omid untuk mendapatkan minit permainan secara konsisten.

Pemain antarabangsa Afghanistan, Omid Musawi.

Sebaliknya, Penang FC dilihat sebagai destinasi yang lebih ideal buat Omid untuk menyerlahkan potensi sebenarnya.

Pasukan Harimau Kumbang sedang dalam proses membina semula skuad yang kompetitif dan kehadiran pemain seperti Omid mampu menjadi aset penting dalam memperkukuh bahagian serangan serta kreativiti tengah pasukan.

Dengan usia yang masih muda dan pengalaman di peringkat antarabangsa bersama skuad Afghanistan, Omid berpeluang besar untuk menjadi pemain utama di Penang FC, sekali gus membina reputasi yang lebih kukuh dalam Liga M. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram