
PENYERANG sayap lincah Sri Pahang FC, T. Saravanan semakin menunjukkan bahawa dia mampu menjadi penyudah berbisa yang diperlukan Pahang dalam perlawanan akhir Piala Malaysia 2024 menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 26 April nanti.
Pemain sayap berusia 24 tahun itu meledak gol kemenangan Tok Gajah ketika menewaskan Perak 1-0 di Stadium Manjung, Perak pada Sabtu minggu lalu selepas dimasukkan sebagai pemain gantian.
Jaringan pada minit ke-82 itu memperlihatkan kecerdikan dan ketajamannya. Saravanan memulakan gerakan dari tengah padang dengan larian bertenaga sebelum melorongkan bola ke sayap kanan buat Baqiuddin Shamsuddin.
BACA LAGI: [VIDEO] JDT tak kebal mana, Kedah antara 4 pasukan tambat seri Harimau Selatan
BACA LAGI: TBG kempunan ke Top 5, chant ‘Bila nak bayar gaji’ gamatkan Manjung
Saravanan (kiri) muncul wira skuad Tok Gajah apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-82 menewaskan Perak FC. — Facebook/Sripahangfc
Baqiuddin kemudiannya melakukan hantaran lintang tepat yang disambut dan disudahkan Saravanan dengan penuh tenang di depan pintu gawang pelawat.
Sebelum ini, Saravanan turut mencuri tumpuan ketika membantu Tok Gajah membelasah Kedah Darul Aman FC 6-0 dan berjaya menjaringkan satu gol serta mencipta satu bantuan jaringan.
Menariknya, itu merupakan satu-satunya perlawanan musim ini yang mana Saravanan bermain sepenuh masa, manakala 10 penampilan lainnya hanya sebagai pemain gantian.
Namun, dua persembahan mantap berturut-turut itu mula menimbulkan persoalan dalam kalangan penyokong mengapa Saravanan tidak diberikan lebih banyak peluang sebagai pemain tetap, apatah lagi menjelang perlawanan akhir yang besar?.
Bagi Saravanan, dia kini lebih yakin dan optimis untuk mendapat kepercayaan dalam kesebelasan utama.
“Dua perlawanan, dua gol, saya rasa sangat baik dan saya tahu ia menguatkan peluang saya untuk memulakan perlawanan akhir Piala Malaysia.
“Menentang Kedah, saya buktikan yang saya mampu menewaskan ramai pemain dengan gelecek sebelum menjaringkan gol.
“Tetapi gol lawan Perak lebih kepada gerakan terus dan itulah gaya permainan saya, memulakan serangan, bekerjasama dengan rakan sepasukan dan mencari ruang untuk meledak.
“Kini saya hanya perlu kekalkan momentum dan tamatkan saingan liga dengan baik dalam aksi terakhir menentang Penang FC nanti," katanya.
Selepas ini, Tok Gajah akan melayan kunjungan daripada Penang FC untuk perlawanan terakhir Liga Super di Stadium Temerloh, Pahang pada 19 April nanti. — The Star/T.AVINESHWARAN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram