[VIDEO] ‘Kami sudah kering’, Pengerusi Perak FC kata pelaburan RM30 juta tak cukup tampung kos operasi kelab


  • Podium
  • Khamis, 17 Apr 2025

Azim meluahkan kesukaran untuk menampung perbelanjaan skuad TBG meskipun pelaburan besar sudah dilakukan. — Facebook/Perak FC

PERAK FC dilaporkan menjadi pasukan terbaru mengalami masalah tunggakan gaji apabila laporan terbaru mengatakan pemain dan barisan kejurulatihan tidak menerima bayaran penuh untuk kira-kira lima bulan lamanya.

Ini merupakan satu situasi meruncingkan kerana skuad The Bos Gaurus (TBG) baru sahaja hendak 'pulih' daripada masalah tersebut selepas pernah mengalaminya pada 2020 sehingga menyaksikan mereka tergelincir ke divisyen bawahan.

Seperti dijangka, perkhabaran kurang menyenangkan itu menimbulkan rasa kurang senang daripada penyokong yang mula menunding jari ke arah pihak pengurusan atas sikap dalam menguruskan pasukan.

BACA LAGI: [VIDEO] Prestasi tidak menentu buat Perak FC sukar tarik penaja — Azim Zabidi

BACA LAGI: Impian besar PFC diwakili kesebelasan anak Perak — Azim Zabidi

Bagaimanapun, tampil menjawab perkara berkenaan, Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Azim Zabidi menjelaskan bahawa syarikat yang memegang saham majoriti kelab, XOX Pro Sport Sdn Bhd sudah melakukan segala usaha untuk membantu pasukan berkenaan.

"Dari segi XOX sendiri, kita pun sudah membelanjakan wang begitu besar. Dalam tiga tahun ini, adalah dalam kira-kira RM30 juta dan ia merupakan duit kami sendiri.

"Kini, sudah tiba masanya kita sudah tiba ke tahap maksimum dan kita mengharapkan mereka yang sudah memberi komitmen untuk bantu, dapatlah menyalurkan wang kerana daripada pihak XOX, kami sudah kering. XOX pun sudah teruk disebabkan Perak FC," katanya kepada wartawan Astro Arena, Fina Nasrom.

Masalah kewangan serius dialami skuad TBG kerana mereka difahamkan tidak menerima bayaran gaji penuh sejak lima bulan lalu. Facebook/Perak FC

Sepanjang berada di bawah naungan syarikat komunikasi itu, kelab tersebut boleh dikatakan berstatus swasta sepenuhnya kerana tidak menerima sumbangan dana daripada kerajaan negeri.

Kebergantungan penuh kepada kantung sendiri membuatkan skuad TBG sukar untuk menampung kos operasi meskipun pasukan semasa bukanlah dibentuk dengan nama-nama besar.

Isu tersebut turut menimbulkan kemungkinan mereka tidak akan bertanding dalam Liga Super musim depan selepas mengambil keputusan untuk tidak menghantar pasukan dalam Piala Presiden.

Bagaimanapun, Azim dan pihak pengurusan kelab masih belum memberi sebarang perkongsian berhubung masa depan mereka dengan penyokong pasti mengharapan hal terbaik. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram