
HARAPAN peminat bola sepak tanah air untuk menyaksikan bekas pemain sayap Portugal, Ricardo Quaresma tertangguh selepas dia yang dijadualkan menyertai satu perlawanan di Stadium Darul Aman, Kedah tidak dapat berbuat demikian.
Ini selepas dia menyatakan terdapat urusan peribadi selain sempat meminta maaf terhadap orang ramai atas isu tersebut menerusi sebuah video dimuat naik di laman media sosial Kedah Darul Aman (KDA) FC.
Namun, orang ramai masih boleh menyaksikan 'King of Trivela' itu beraksi di tanah air kerana pihak penganjur menyatakan satu tarikh baharu akan dimaklumkan dengan Quaresma akan turut beraksi.
BACA LAGI: Ricardo Quaresma bukan scammer, Kedah tetap setia tunggu bintang Portugal
BACA LAGI: Sebelum Quaresma, 3 kali fans kelab Liga Super termasuk JDT-TBG kempunan saksikan bintang dunia tiba
Quaresma sebelum ini menjadi pemain jemputan bagi aksi persahabatan di Stadium Darul Aman. — Facebook/KDA FC
Bagaimanapun, baru-baru ini, persoalan mula timbul mengenai komitmen Quaresma di luar padang apabila dia dilihat menyertai satu perlawanan persahabatan di Amerika Utara pada Isnin.
Hal berkenaan dikongsikan bekas pemain itu sendiri di Instagram peribadinya memaparkan dia bermain untuk Barca Legends menentang Real Madrid Legends di Estadio Nemesio Diez, Mexico.
Kehadirannya sudah tentu menimbulkan pelbagai persoalan kerana dia sebelum ini menyatakan terdapat halangan untuknya hadir ke Kedah, namun sempat meluangkan masa di sana bersama bekas rakan sepasukan.
Tetapi, peluang beraksi di samping nama-nama besar serta majikan lamanya berkemungkinan terlalu sukar untuk ditolak Quaresma, lebih-lebih lagi perlawanan itu diadakan di venue yang pernah menjadi lokasi Piala Dunia 1970 dan 1986.
Quaresma (kiri, bawah) berada dalam pasukan yang beraksi di Estadio Nemesio Diez. — Agensi
Dalam perlawanan itu, Barca Legend dibarisi nama-nama besar seperti Rivaldo, Andres Iniesta dan Carles Puyol sementara pasukan lawan tidak kurang hebatnya dengan Luis Figo, Marcelo dan Iker Casillas tampil beraksi.
Aksi yang disaksikan kira-kira 26,000 penonton tersebut berakhir dengan kemenangan buat Real Madrid Legend menerusi penentuan sepakan penalti selepas aksi sepanjang 90 minit tamat dengan keputusan 2-2.
Meskipun tidak mencatatkan sebarang jaringan, Quaresma pasti menghargai momen tersebut kerana dia dapat meluangkan masa bersama pasukan yang pernah disertai pada awal karier.
Berdasarkan perancangan sebelum ini, pemenang Kejohanan Euro 2016 itu akan menyertai aksi persahabatan antara Kedah All Stars dan Malaysia All Stars pada 22 April depan.
Bagaimanapun, pihak KDA FC dan penganjur lain masih belum memberi kata putus kerana pelbagai faktor lain perlu diambil kira untuk memilih tarikh baharu bagi perlawanan terbabit. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram