TIGA mata bermakna diraih Perak FC selepas mereka mudah membelasah Kelantan Darul Naim (KDN) FC dengan keputusan 7-0 dalam aksi di Stadium Perak, Ipoh pada Ahad lalu.
Keputusan itu juga membawa makna berbeza buat kelab Utara tanah air tersebut kerana ia merupakan kemenangan terbesar bagi saingan Liga Super musim ini secara keseluruhan.
Ini termasuk rekod jaringan diraih pendahulu liga, Johor Darul Ta'zim (JDT) yang kemenangan terbesar mereka setakat ini adalah ketika bertemu Kedah Darul Aman (KDA) FC dengan keputusan 6-0.
BACA LAGI: Yusri Che Lah sudah mampu tersenyum semula hasil ‘hadiah’ daripada KDN FC
BACA LAGI: Bukan sahaja wakili Brazil, Clayton rupanya pernah beraksi di samping arkitek Chelsea
Clayton (tengah) sukar dikekang benteng pertahanan skuad Kijang Emas. — Facebook/Perak FC
Pujian sememangnya perlu diberikan kepada penyerang skuad The Bos Gaurus (TBG), Clayton da Silva yang meledak empat gol, sekali gus meletakkannya di kedudukan kelima dalam carta penjaring terbanyak.
Bagaimanapun, bekas pemain Dynamo Kyiv itu tidak mahu mengambil kredit secara keseluruhan kerana baginya, sumbangan berkenaan berjaya dicurahkan dengan bantuan rakan sepasukan.
"Saya mungkin mencetak empat jaringan, tetapi ia adalah usaha sepasukan. Saya yakin kemenangan ini penting buat pasukan, kakitangan kelab serta penyokong.
"Kami mahu meneruskan momentum ini dan menamatkan kempen dengan keputusan lebih baik. Saya juga berpuas hati kerana dapat membuktikan sesuatu buat peminat Perak FC," katanya.
Penyerang kelahiran Brazil itu sudah tentu berpuas hati akan kesemua jaringan yang dicetak memandangkan dia kerap dikritik atas sentuhan jaringan kurang memuaskan.
Namun, meskipun sering dipandang rendah, ia tidak mematahkan usaha Clayton dengan lapan gol dicatatkan dalam Liga Super 2024/25 sudah membuktikan kesungguhan buat pasukannya.
Yusri sudah tentu berpuas hati dengan kesungguhan anak-anak buahnya. — Facebook/Perak FC
Pengendali Perak FC, Yusri Che Lah dalam pada itu berpuas hati akan persembahan anak-anak buahnya secara keseluruhan sambil mengharapkan momentum tersebut dapat diteruskan.
"Jumlah jaringan diperoleh menambah baik perbezaan gol dalam carta, kita juga tidak dibolosi. Kita menunjukkan kesungguhan lebih baik berbanding KDN FC.
"Tetapi, lawan kita selepas ini akan menjadi lebih mencabar. Saya juga berharap pemain Kelantan tidak berputus asa," katanya ketika ditanya akan nasib pemain lawan.
Skuad Kijang Emas dilaporkan turut menjadi mangsa masalah kewangan musim ini apabila pada awalnya, pemain dalam skuad simpanan hanya terkesan, tetapi ia sudah merebak ke arah pasukan utama.
Keputusan di Stadium Perak itu menyaksikan skuad TBG kini berada di tangga kelima selepas 18 perlawanan sementara lawan mereka itu terperosok di dasar carta Liga Super dengan hanya tujuh mata dikutip. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram