[VIDEO] Gagal tahan sebak, air mata jantan Victor Andrag gugur lepas aksi terakhir di Darul Aman


  • Podium
  • Ahad, 13 Apr 2025

Victor Andrag sebak mengenangkan masalah dialami kelab Utara tanah air tersebut sejak awal musim lalu.

SELEPAS mengalami lima kekalahan berturut-turut, Kedah Darul Aman (KDA) FC akhirnya berjaya membawa pulang mata selepas mencatatkan keputusan seri ketika berdepan Sabah FC.

Dalam pertembungan di laman sendiri itu, skuad Sang Kenari mencipta kejutan dengan meraih gol pendahuluan menerusi sepakan penalti Amirul Hisyam Awang Kechik, namun gagal menambah jaringan selepas beberapa kali mensia-siakan peluang.

Kekecewaan pasukan Utara tanah air tersebut digandakan pada babak kedua permainan selepas kekalutan di luar kotak penalti KDA FC dimanfaatkan penyerang lawan, Darren Lok yang membuat rembatan deras untuk menewaskan Wan Syazmin.

BACA LAGI: Victor Andrag, Yusri tabik semangat juang anak buah ketepi sentimen luar padang

BACA LAGI: [VIDEO] Senasib Nafuzi Zain, gugur air mata jantan Victor Andrag lepas tersungkur di Darul Aman

Skuad Sang Kenari menamatkan rentetan lima kekalahan berturut-turut dalam Liga Super.

Kedudukan seri 1-1 kekal sehingga wisel penamat ditiupkan, sekali gus menyaksikan kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati dengan satu mata memasuki aksi terakhir Liga Super 2024/25.

Meskipun gagal meraih kemenangan, perlawanan itu masih menerima respons positif daripada penyokong Hijau Kuning yang berbangga akan kesungguhan ditampilkan pemain dengan pengendali pasukan, Victor Andrag turut berasa sedemikian.

Dalam sesi sidang media selepas perlawanan, jurulatih tersebut mengagumi keazaman dipamerkan anak-anak buahnya sebelum gagal menahan sebak ketika mengimbau cabaran demi cabaran dihadapi mereka sepanjang kempen ini.

"Cukup sukar untuk saya terangkan perjalanan kerana bukan senang. Hari demi hari, perlawanan demi perlawanan. Ia tidak mudah buat kami untuk beraksi dan dapatkan mata. 

"Tiada perkataan (bagi saya simpulkan rasa sayang terhadap Kedah). Anda semua boleh lihat berapa lama kami berjuang bersama-sama. Dari segi perkataan, saya tak perlu nak jelaskan kerana segala tindakan menunjukkan karakter sebenar di dalam dan luar padang,” katanya.

Perasaan menyentuh hati itu dikongsikan wartawan Astro Arena, Fina Nasrom yang jelas menunjukkan rasa sebak Victor Andrag dalam menyuntik motivasi buat anak-anak buahnya.

Ini kerana isu tunggakan gaji dialami kelab tersebut menyaksikan sebilangan pemain mengambil keputusan meninggalkan pasukan tersebut selain enggan hadir ke sesi latihan mahupun berada dalam skuad untuk hari perlawanan.

Masalah pengurusan tersebut menyaksikan skuad Sang Kenari gagal menampilkan persembahan baik sehingga meletakkan mereka di tangga ke-11 Liga Super dengan hanya satu perlawanan berbaki.

Victor Andrag sebelum ini mengambil tampuk kejurulatihan KDA FC selepas Nafuzi Zain meninggalkan pasukan tersebut untuk menyertai skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara pada November lalu.

Meskipun 'mewarisi' pasukan serba kekurangan, bekas kapten Kedah itu masih membawa beberapa kenangan manis buat penyokong dengan dua kemenangan daripada sembilan perlawanan dicatatkan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram