
MEMASUKI penghujung kempen 2024/25, isu gaji masih menjadi topik utama perbincangan apabila kelab-kelab yang terkesan masih belum mendapatkan jalan penyelesaian untuk membantu pemain dan kakitangan terkesan.
Pasukan seperti Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Sri Pahang FC merupakan dua kelab yang bergelut sejak awal musim, namun masalah itu masih membelenggu tanpa sebarang tindakan daripada pihak atasan.
Kesan daripada isu tersebut menyaksikan gaya permainan mula merosot disebabkan kesungguhan pemain semakin merudum selain masing-masing enggan hadir ke sesi latihan.
BACA LAGI: Luka masih belum terubat, Perak FC dituntut balas dendam ke atas Sri Pahang
Prestasi skuad Sang Kenari amat memalukan kebelakangan ini. — Facebook/KDA FC
Bagaimanapun, pengendali skuad Sang Kenari, Victor Andrag masih memberi penghormatan kepada anak-anak buahnya yang masih beraksi dari perlawanan ke perlawanan meskipun isu luar padang terus melanda.
"Saya sebenarnya bersyukur kerana pemain masih hadir ke hari perlawanan dan sesi latihan. Ia bukanlah situasi mudah buat mana-mana individu kerana hanya kita tahu hal sebenar," katanya.
Masalah pengurusan menyaksikan KDA FC tidak berada dalam prestasi sebenar ketika ini kerana mereka sedang menduduki tangga ke-11 Liga Super setelah mengalami lima kekalahan berturut-turut.
Dalam tempoh tersebut, pasukan Utara tanah air itu dibolosi sebanyak 20 kali, termasuk dua perlawanan yang menyaksikan mereka dibolosi dengan enam gol iaitu kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Sri Pahang FC.
Situasi sama turut menimpa 'jiran' kepada KDA FC iaitu Perak FC yang dilaporkan mengalami masalah tunggakan gaji sejak lima bulan lalu yang sedikit sebanyak meranapkan kesungguhan pasukan.
Skuad TBG masih menampilkan prestasi cemerlang meskipun berdepan isu di luar padang. — Facebook/Perak FC
Ketua jurulatihnya, Yusri Che Lah berkata, pesanan sudah diberikan kepada pemain sebelum mereka berjaya melakar kemenangan ke atas Kuala Lumpur (KL) City FC pada Ahad lalu.
"Hanya dua perlawanan berbaki untuk kita dan hanya kita yang tahu apa sedang berlaku di sebalik tabir. Saya meminta anak-anak buah untuk melupakan apa sedang berlaku dan fokus kepada persembahan di atas padang," katanya.
Meskipun isu gaji terus membelenggu, skuad The Bos Gaurus (TBG) masih berjaya menampilkan aksi konsisten untuk berada dalam kelompok pertengahan dengan mereka kini menduduki tangga ketujuh selepas 22 perlawanan.
Pasukan Utara tanah air itu turut berpeluang melangkau ke kedudukan kelima Liga Super sekiranya berjaya mata maksimum dalam dua aksi berbaki dengan syarat Terengganu FC dan KL City FC mencicirkan mata.
Selain KDA FC dan Perak FC, beberapa pasukan lain turut mengalami masalah sama dengan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) terus didesak untuk mencari jalan penyelesaian segera sebelum kempen akan datang. — The Star/T AVINESHWARAN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram