[VIDEO] Stano mula runsing, hilang 4 pemain, termasuk Saddil ke Darul Aman


  • Podium
  • Sabtu, 12 Apr 2025

Saddil terpaksa diketepikan daripada aksi menentang KDA FC selepas digantung akibat kutipan kad kuning. — Facebook/Sabah FC

SABAH FC kembali menemui momentum dalam saingan Liga Super selepas baru-baru ini meraih kemenangan ke atas PDRM FC pada Selasa yang sekali gus meletakkan mereka ke tangga ketiga.

Kedudukan itu amat diharapkan peminat kelab Borneo tanah air berkenaan kerana ia akan menjadi tiket buat mereka berentap dalam saingan Piala Shopee akan datang.

Bagaimanapun, skuad Sang Badak masih perlu memberi sepenuh tumpuan dalam dua aksi berbaki, termasuk perlawanan akan datang berdepan Kedah Darul Aman (KDA) FC di tempat lawan pada Sabtu.

BACA LAGI: Kelegaan Badrul Afzan selamatkan satu mata disahut keluhan Stano hilang dua mata

BACA LAGI: Fans Sabah 'predict' keputusan lebih awal, tak minat corak permainan Martin Stano

Keputusan terletak di tangan Martin Stano untuk mencari pengganti kepada mereka yang tidak dapat beraksi. Facebook/Sabah FC

Kelebihan boleh dikatakan berpihak kepada anak-anak buah Martin Stano memandangkan pihak lawan tidak berada dalam keadaan terbaik ketika ini susulan dua kekalahan memalukan berturut-turut dialami.

Jadi, sekiranya skuad Sang Badak tampil dengan gaya sama, tidak mustahil bagi mereka meraih tiga mata penuh, sekali gus mencipta jurang lebih selesa berbanding pencabar terdekat, Kuching City FC.

Namun, baru-baru ini, berita kurang senang didengari dari kem Sabah FC selepas laporan mengatakan terdapat empat tonggak terpaksa melupakan aksi di Utara tanah air.

"Terdapat beberapa penggantungan dengan dua pemain iaitu Saddil Ramdani serta Daniel Ting sudah digantung untuk dua perlawanan kerana jumlah kad kuning. Jefri Chew dan Park Tae-su pula akan terlepas hanya satu perlawanan," katanya kepada Fina Nasrom.

Dalam perlawanan terdahulu menentang PDRM FC, keempat-empat pemain dinyatakan Martin Stano dilayangkan kad kuning yang sekali gus menyaksikan mereka digantung.

Ini merupakan isu yang perlu dipandang serius kerana sepanjang kempen kali ini, sebilangan pemain sudah dikenakan hukuman sama yang menceritakan masalah disiplin dalam pasukan.

Kehilangan keempat-empat pemain itu tentu merunsingkan jurulatih dari Serbia tersebut kerana skuad Sang Badak ketika ini sudah cukup bergelut dengan ketiadaan beberapa tonggak akibat kecederaan.

Oleh itu, Stano perlu mencari alternatif untuk meraih tiga mata dari Stadium Darul Aman dengan menurunkan pemain muda merupakan salah satu pilihan terbaik dimilikinya.

Nama-nama seperti Chikonelson Kulisi dan Azhad Harraz Arman mungkin diberikan minit permainan selepas masing-masing membuktikan potensi dalam saingan Piala MFL 2024/25.

Selepas berdepan KDA FC, skuad Sang Badak akan menerima kunjungan Perak FC di Stadium Likas, Sabah pada 20 April depan sebagai perlawanan penutup musim. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram