Sebelum kehadiran Bergson, Liga Super pernah diwarnai 3 striker elit termasuk Marlon Alex James


  • Podium
  • Ahad, 13 Apr 2025

Dari kiri: Mandjou, Marlon James dan Chipeta memiliki rekod jaringan cukup baik sepanjang beraksi dalam Liga Super.

SEJAK menyertai Johor Darul Ta'zim (JDT) pada 2021, Bergson da Silva sudah membuktikan dirinya sebagai antara penyerang terbaik pernah disaksikan dalam Liga Super.

Selain bijak menghidu peluang daripada rakan sepasukan, pemain kelahiran Brazil itu mempunyai kebolehan untuk melakukan percubaan deras dari luar kotak penalti sehingga sukar ditepis pihak lawan.

Kebolehan demi kebolehan dimilikinya membolehkan penyerang terbabit memecahkan pelbagai rekod jaringan dengan hanya dua lagi gol diperlukan untuk mengatasi catatan 106 gol milik Indra Putra Mahayuddin sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman Liga Super.

BACA LAGI: Marlon Alex James antara 3 pencetak gol berbisa di bawah telunjuk Allahyarham Azraai Khor

BACA LAGI: Bukan setakat legenda Kedah, Marlon Alex James juga wira ATM julang Liga Perdana

Bergson boleh diangkat sebagai penyerang import terbaik pernah beraksi dalam Liga Malaysia.

Ini sudah cukup untuk menceritakan bahawa Bergson layak diletakkan dalam barisan peledak import elit yang pernah mewarnai arena bola sepak tanah air dengan pandangan tersebut semakin sukar disangkal.

Namun, lama sebelum kehadiran Bergson, terdapat lambakan penyerang berbisa yang terlebih dahulu menampilkan aksi cemerlang buat pasukan masing-masing dengan nama mereka terus diingati sehingga hari ini.

Bagaimanapun, dalam kalangan mereka, ada tiga peledak yang berada dalam tahap berbeza kerana pernah mewarnai Liga Super dengan kualiti serta sentuhan penyudah sukar ditepis.

1. Marlon Alex James (Kedah)

Sebelum JDT menjulang dua gelaran treble berturut-turut, Kedah terlebih dahulu berbuat demikian pada 2007 dengan pasukan kendalian Allahyarham Azraai Khor Abdullah ketika itu serba lengkap.

Ini termasuk jentera serangan diketuai peledak import dari Saints Vincent and Grenadines, Marlon Alex James yang bertahun-tahun menghantui barisan pertahanan dalam Liga Super.

Dia yang pada awalnya beraksi buat Selangor MKLand kemudian menyertai skuad Sang Kenari pada 2006 dengan keputusan itu menyaksikannya mencipta gandingan trio import berbisa Kedah di samping Nelson San Martin dan Cornelius Huggins.

Marlon merupakan nama utama di sebalik skuad Kedah yang menjuarai double treble.

Kehadiran mereka, terutamanya Marlon menyaksikan Kedah amat digeruni pada tempoh berkenaan apabila mereka merangkul pelbagai gelaran di peringkat domestik.

Bagaimanapun, keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk menyekat pemain import dalam Liga Super pada 2009 menyaksikan Marlon meninggalkan Kedah dan menyertai kelab Kanada, Vancouver Whitecaps.

Tetapi, kira-kira tiga musim kemudian, penyerang berbisa itu kembali mewarnai arena bola sepak tempatan apabila menyertai ATM FA meskipun terdapat khabar angin mengatakannya mahu menyertai skuad Sang Kenari.

2. Keita Mandjou (Perak)

Sekiranya Kedah pernah dihiasi dengan rekod jaringan cantik Marlon, Perak yang merupakan jiran mereka di Utara tanah air pula beruntung kerana berpeluang menikmati ledakan berbisa Keita Mandjou.

Dia yang menyertai skuad Seladang kira-kira 21 tahun lalu bernasib baik kerana pasukan tersebut dibanjiri lambakan pemain tempatan berkualiti seperti mendiang Frank Seator, K Nanthakumar serta R Surendran.

Malah, pada musim pertama di kelab itu, penyerang kelahiran Guinea tersebut sudah memainkan peranan penting apabila membantu mereka menjulang Piala FA dengan menjaringkan gol di peringkat separuh akhir.

Mandjou meraih dua Anugerah Kasut Emas selain membantu Perak menjuarai Piala FA 2004.

Penyerang berbisa itu bagaimanapun tidak berpeluang menambah koleksi kejuaraan kerana sepanjang tempoh permainannya, pasukan lain turut menampilkan aksi kompetitif, lebih-lebih lagi Kedah dan Negeri Sembilan.

Tetapi, ia tidak menghalang Mandjou daripada terus meledak kerana berdasarkan statistik, dia berjaya mencatatkan 49 gol sepanjang tiga musim setengah dengan dua Anugerah Kasut Emas berjaya diraih.

Selepas meninggalkan Perak, pemain tersebut sempat berkelana ke beberapa kelab lain seperti Portland Timbers di Amerika Syarikat sebelum kembali mewarnai Liga Super bersama Kelantan pada 2013.

3. Phillimon Chipeta (Perlis)

Ketika ini, Perlis tidak lagi menjadi negeri digeruni dalam landskap bola sepak tanah air kerana kali terakhir mereka berentap adalah 2023, iaitu dalam saingan Liga M3.

Namun, kira-kira 20 tahun lalu, skuad Singa Utara pernah dihormati kerana bertahun-tahun memberi saingan hebat kepada pasukan lain dengan lambakan pemain terbaik dimiliki, termasuk Philimon Chipeta.

Pemain kelahiran Zambia itu pada awalnya mempunyai hasrat untuk menyertai Perak, namun kegagalan membuktikan diri dalam sesi percubaan menyaksikannya mengambil keputusan menyertai Perlis yang beraksi dalam Liga Perdana 2003.

Chipeta (kiri) merupakan nadi di sebalik skuad Singa Utara yang mengaum dalam arena bola sepak tanah air.

Langkah itu jelas membuahkan hasil kerana pemain tersebut mudah menyesuaikan diri dalam pasukan yang dibarisi bintang ternama seperti Azizi Matt Rose, Lamin Conteh dan rakan senegara, Zachariah Simukonda.

Malah, sepanjang beraksi di Utara tanah air, Chipeta berjaya menikmati pelbagai momen sukses, termasuk menjuarai dua gelaran Piala Malaysia serta Liga Super 2005.

Dari segi individu pula, penyerang berbisa itu tidak kurang hebatnya kerana berdasarkan rekod, Chipeta merekodkan 116 gol secara keseluruhan dengan 52 daripadanya dicatatkan dalam Liga Super. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram