Bukan setakat legenda Kedah, Marlon Alex James juga wira ATM julang Liga Perdana


  • Podium
  • Ahad, 09 Jul 2023

Pada 2014, ATM menamatkan kontrak Marlon akibat dari kecederaan berpanjangan sekali gus terpaksa melupakan dunia bola sepak. — Agensi

NAMA Marlon Alex James sememangnya lebih dikenali sebagai salah satu legenda penjaring yang Kedah Darul Aman (KDA) FC pernah ada dengan memenangi Anugerah Kasut Emas pertamanya ketika bersama Sang Kenari pada 2008.

Malah, Marlon yang menyertai Kedah pada musim 2006-2008 sesuai digelar ayam tambatan Azraai Khor Abdullah dengan membantu pasukan berpangkalan di Utara tanah air itu menjuarai tiga trofi semusim untuk dua tahun berturut-turut.

Ketika di bawah kendalian Azraai Khor, Kedah boleh dianggap sebagai zaman kegemilangan Sang Kenari yang digelar 'double treble' dengan Marlon merupakan salah seorang tonggak kelab.

WhatsApp Image 2023-07-09 at 09.56.26

Nama Marlon sememangnya sukar untuk dilupakan rata-rata penyokong Hijau Kuning. — Agensi

Namun tahukah anda, selepas berkelana di Amerika Syarikat dengan menyertai Vancouver Whitecaps pada 2009, Marlon kembali ke Liga Malaysia (Liga M) pada 2012 tapi dengan pasukan berbeza iaitu Persatuan Bola Sepak Angkatan Tentera Malaysia (ATM FA).

Menurut laporan media yang diterbitkan pada 9 Julai 2013, Marlon pernah menyatakan hasrat untuk kembali mengemudi The Gladiators untuk memenangi kejuaraan Liga Super.

Marlon beraksi dua musim bersama ATM dan berjaya membantu pasukan The Gladiators menjuarai Liga Perdana 2012 dan menjadi naib juara Piala Malaysia 2012.

Pada musim 2014, pemain antarabangsa Saint Vincent dan Grenadines itu menjaringkan 16 gol dalam 22 perlawanan untuk muncul sebagai penjaring terbanyak.

ATM FA bagaimanapun hanya mampu menduduki tempat keenam walaupun Marlon ketika itu merupakan salah seorang penjaring terbanyak pada musim berkenaan.

“Adalah tugas saya untuk membantu pasukan untuk menang... saya penyerang utama dan tugas saya untuk menjaringkan gol tetapi saya lebih gembira jika kami bermain lebih baik dalam liga.

“Memenangi Kasut Emas adalah bonus individu dan saya lebih suka menang Liga Super,” kata Marlon memetik laporan berita pada 9 Julai 2013.

WhatsApp Image 2023-07-09 at 09.56.28

Kesebelasan utama ATM ketika final Piala Malaysia 2012 menentang Kelantan. — Agensi

Kemerosotan prestasi ATM FA ketika itu, bagaimanapun boleh dikaitkan dengan ketiadaan Marlon akibat kecederaan lutut dan penggantungan menjelang akhir liga.

“Kami melakukan dengan baik dari segi prestasi. Sesetengah pasukan tidak bermain dengan baik tetapi masih berjaya menewaskan kami.

“Kami melepaskan terlalu banyak gol dan mengalami beberapa kekalahan mengejut. Memandangkan ini musim pertama kami dalam Liga Super, kami tidaklah tampil dengan persembahan yang teruk dan kami menunjukkan kepada mereka kami boleh bermain,” kata Marlon.

Selepas melihat kepada prestasi di saingan Liga Super ketika itu, Marlon seterusnya menyasarkan untuk membantu ATM FA memenangi Piala Malaysia.

Namun, nasib tidak menyebelahi Marlon apabila menyaksikan Pahang muncul juara Piala Malaysia 2014 selepas menewaskan pasukan Johor Darul Takzim (JDT).

Selain itu, pada tahun 2014, ATM juga menamatkan kontrak Marlon akibat dari kecederaan berpanjangan yang dihadapi dan seterusnya memaksanya mengambil keputusan untuk bersara daripada bola sepak. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram