'Mereka lebih menonjol', Ubaidullah akui duo muda KL City-Selangor lebih layak raih gelaran ABK


  • Podium
  • Selasa, 08 Apr 2025

Ubaidullah menganggap peluangnya mempertahan gelaran pemain muda terbaik ABK kecil.

PEMAIN Terengganu FC, Ubaidullah Shamsul bersyukur dapat kembali semula ke dalam pencalonan bagi Anugerah Pemain Muda Terbaik untuk Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) bagi musim 2024/2025.

Walaupun berasakan prestasinya sedikit menurun berbanding musim 2023, Ubaidullah tetap gembira kerja kerasnya masih diterima.

Ubaidullah akan bersaing dengan pemain Kuala Lumpur City FC, Haqimi Azim dan wakil Selangor FC, Haykal Danish.

BACA LAGI: Sebelum Hidalgo, Ubaidullah dan Luciano mangsa layangan kad merah tak munasabah Liga M musim ini

BACA LAGI: Hatrik pertama Bergson sapu rekod bersih TFC, fans JDT persoal layangan kad merah Ubaidullah

"ALHAMDULILLAH masih lagi diberikan peluang untuk berada dalam pencalonan tiga terbaik kategori Pemain Muda.

"Bagi saya musim lepas adalah yang terbaik kalau nak dibandingkan musim ini, tetapi saya tetap berusaha keras untuk pamerkan kualiti dan doa ibu bapa juga yang berjaya bawa saya ke tahap ini," kata Ubaidullah menerusi Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Dalam pada itu, Ubaidullah tidak berasakan yang dia mempunyai peluang tinggi untuk meraih gelaran tersebut walaupun pernah meraihnya musim lalu kerana faktor sebagai pemain pertahanan.

Padanya, Haqimi dan Haykal dilihat lebih menyerlah kerana mereka adalah penyerang. Kedua-dua pemain kelab Lembah Klang itu lebih mudah menyerlahkan potensi mereka.

"Bagi saya, dua calon lain (Haqimi dan Haykal) merupakan saingan yang hebat untuk saya rebut trofi ini.

"Apatah lagi mereka berdua bermain di posisi penyerang, jadi sudah tentu mereka lebih menonjol daripada segi kualiti dan sebagainya, tapi apa pun saya percaya kepada rezeki," jelas Ubaidullah.

Keputusan pemenang ABK bagi musim ini akan diumumkan pada April ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram