HARIMAU mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Pepatah Melayu itu tepat ditujukan kepada legenda jurulatih tanah air, Mohd Azraai Khor Abdullah yang menghembuskan nafas terakhirnya pada Khamis.
Anak Allahyarham, Firdaus Zainuddin memaklumkan di laman Facebook bahawa Azraai Khor dikejarkan ke hospital kerana diserang strok sebelum akhirnya disahkan meninggal dunia di Kedah Medical Centre (KMC), Alor Setar Kedah.
Nama Azraai Khor pasti akan kekal terpahat dalam sejarah Kedah Darul Aman (KDA) FC apabila tempohnya bersama Allahyarham mencipta sejarah sebagai jurulatih pertama membawa pasukan tempatan meraih kejuaraan 'double treble' bagi musim 2006/2007 dan 2007/2008.
Selain itu, Azraai Khor akan kekal diingati sebagai seorang pengendali yang disegani apabila sudah banyak melahirkan pemain berbakat dan mengecapi pelbagai kejayaan di beberapa kelab seperti Perak FC, Kelantan dan Negeri Sembilan FC (NSFC).
Air tangan pengendali kelahiran Kedah itu sudah melahirkan pelbagai legenda bola sepak sama ada tempatan mahupun import dan pastinya pemain di semua posisi sudah berkesempatan melalui zaman kegemilangan di bawah sentuhan Allahyarham Azraai Khor.
Mengimbau semula kenangan manis ketika Allahyarham aktif menjadi pengendali di pada zaman kegemilangan, kali ini Majoriti menyenaraikan tiga penyerang yang 'menjadi' di bawah kendalian Azraai Khor:
BACA LAGI: Bekas pengendali import Perak beri 'tribute', sanjung karier Allahyarham Azraai Khor
1) Marlon Alex James
Nama Marlon sememangnya sukar untuk dilupakan rata-rata penyokong Hijau Kuning. — Agensi
Penyerang berbisa Kedah, Marlon Alex James tiba di tanah air pada 2006 tanpa mempunyai jangkaan tinggi susulan pengalamannya sebelum itu hanya beraksi bersama kelab kecil berpangkalan di St. Vincent & Grenadinen, Hope International FC.
Hasil didikan Allahyarham Azraai Khor bagaimanapun berhasil mengubah pemain berbadan sasa itu menjadi seorang penyerang disegani dengan kali pertama Marlon memenangi Anugerah Kasut Emas pertamanya di saingan Liga M ketika bersama Sang Kenari pada 2008.
Marlon ketika di bawah kendalian Allahyarham diberi kepercayaan untuk mengemudi bahagian serangan bersama Khyril Muhymeen dan Nelson Sam Martin sebagai perancang tengah ketika zaman kegemilangan 'double treble' pada 2007 dan 2008.
Pemain berketinggian 1.88 meter itu meledak 44 gol dalam 44 penampilan ketika bersama Kedah pada 2006 hingga 2008, membantu Kedah menjuarai Liga Super, Piala Malaysia dan Piala FA selama dua musim berturut-turut.
Selepas cemerlang mencipta nama bersama Kedah, penyerang kelahiran St Vincent and the Grenadines itu bagaimanapun memilih untuk berkelana ke Amerika Syarikat untuk menyertai Vancouver Whitecaps pada 2009.
2) Paulo Rangel
Pada musim 2012, kehadiran Allahyarham ke bumi Perak seperti rahmat untuk bola sepak The Bos Gaurus (TBG) selepas Azraai Khor berhasil merekrut pemain berbakat seperti membawa masuk Paulo Rangel secara pinjaman dari kelab Thailand, Muangthong United.
Penyerang kelahiran Brazil itu menggunakan sebaik-baik tempoh pinjamannya apabila ternyata memberikan nafas baru buat skuad Seladang terutama menunjukkan perbezaan kualiti berbanding penyerang import sebelumnya, Karim Rouani.
Walaupun tiba pada jendela perpindahan kedua 2013 namun magis Allahyarham Azraai Khor berhasil menjadikan Rangel sebagai penyerang terbanyak Perak dengan merekodkan sembilan gol Liga Super dan dua gol Piala Malaysia.
Kejayaan Rangel tidak berhenti bersama Perak apabila selepas itu terdapat beberapa kelab Liga Super seperti Johor Darul Takzim (JDT) dan Terengganu berminat untuk menggunakan kepakarannya.
Malah, Rangel juga pernah merangkul anugerah penjaring terbanyak bersama Selangor pada 2014, selain pernah menjadi antara salah seorang calon bintang import untuk menyarung jersi Harimau Malaya.
BACA LAGI: Azraai Khor meninggal dunia selepas diserang strok
3) Hairuddin Omar
Hai-O (tengah) ketika menyarung jersi skuad Jang. — Agensi
Jika sebelumnya kita menyenaraikan bintang import didikan Allahyarham Azraai Khor namun kali ini nama bekas penyerang legenda skuad kebangsaan, Hairuddin Omar juga pernah berpeluang memperoleh ilmu daripada pengendali berkenaan.
Hubungan Hairuddin atau lebih mesra dengan sapaan Hai-O dengan Allahyarham terbentuk ketika bekas pengendali Harimau Muda berkenana mengendali Negeri Sembilan pada musim 2011 hingga 2012.
Hairuddin yang kini merupakan pengendali Terengganu FC II (TFC II) itu menjadi penjaring terbanyak skuad Jang dengan mencetak 11 jaringan gol bagi semua pertandingan domestik tanah air waktu berkenaan.
Hasil lontaran idea taktikal Azraai Khor berhasil mengemudi Negeri Sembilan merangkul kejuaraan Piala Malaysia dengan Hai-O bijak menterjemah pelan Allahyarham untuk mencetak jaringan kemenangan 2-1 ke atas Terengganu.
Kini Hairuddin merupakan salah seorang pengendali yang diminati corak permainannya sehingga berhasil membantu TFC II memenangi trofi Piala MFL musim lepas selepas menewaskan JDT II. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram