
KEHADIRAN Manchester United yang akan hadir untuk bertemu Asean All Stars di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 28 Mei lalu dijangka menerima tumpuan hangat.
Ini kerana peminat gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) itu tidak mahu melepaskan peluang menyaksikan pasukan kegemaran mereka itu selepas kali terakhir hadir adalah pada 2009.
Tidak cukup dengan itu, penggemar bola sepak secara keseluruhan juga diramal membanjiri stadium kerana kali terakhir kelab Eropah beraksi di venue berkenaan adalah kira-kira 10 tahun lalu ketika Tottenham Hotspur menentang Malaysia XI.
BACA LAGI: 'Tak sabar tengok Arif Aiman ole Maguire', JDT jadi pilihan lawan Man United
Peminat pasti teruja untuk mengalu-alukan kehadiran Manchester United ke Stadium Nasional Bukit Jalil.
Jadi, Stadium Nasional Bukit Jalil pasti bakal dimeriahkan puluhan ribu penonton yang tidak mahu melepaskan peluang menyaksikan pertembungan antara Asean All Stars dan Manchester United meskipun perlu membayar tiket berharga ratusan ringgit.
Ramalan tersebut turut disokong penyokong The Red Devils, Nizam Archibald yang berasakan penantian peminat tanah air untuk menyaksikan pasukan itu secara langsung akan menjadikan perlawanan berkenaan hangat.
"Kali terakhir Manchester United datang ke Bukit Jalil adalah pada 2009 dan ketika itu, ramai menantikan kehadiran Cristiano Ronaldo tetapi tidak kesampaian apabila dia mengesahkan perpindahan ke Real Madrid.
"Berbeza pula dengan kali ini, ada juga beberapa pemain bintang seperti Bruno Fernandes, jadi akan ada tarikan di situ. Selain itu, ia menarik kerana mereka akan berdepan Asean All Stars yang kita akan ternanti-nanti siapakah yang akan beraksi," katanya kepada Majoriti.
Manchester United mengadakan dua perlawanan ketika berada di KL pada 2009.
Nizam yang juga merupakan peminat tegar Kuala Lumpur (KL) City FC turut menegaskan tumpuan akan turut diberikan kepada beberapa pemain lain seperti penjaga gol The Red Devils, Andre Onana.
"Mungkin ada mahu saksikan pemain manakah dari Asia Tenggara mampu menjaringkan gol melepasi Onana. Jika bukan dia, Amad (Diallo) dan (Alejandro) Garnacho juga pasti jadi sebutan kerana Garnacho pernah dikekang dan dikawal rapi Asnawi (Mangkualam) ketika berdepan Indonesia.
"Jadi, pasti ada yang mahu menyaksikan perkara itu berulang. Kemeriahan itu dirasai kerana ada tidak sabar menyaksikan Manchester United selain mahu menonton kualiti pemain Asia Tenggara," katanya lagi.
Kali terakhir skuad The Red Devils hadir mengadakan aksi persahabatan di Malaysia menyaksikan mereka mengadakan dua perlawanan dengan kedua-dua aksi itu menyaksikan kelab EPL tersebut meraih kemenangan.
Faisal (kiri) dan Arif Aiman pasti diharapkan mampu beraksi bersama Asean All Stars.
Keputusan sedemikian pasti sukar untuk dicatatkan kerana kualiti mereka ketika ini jauh berbeza dengan pasukan pada kira-kira 15 tahun lalu yang amat digeruni di pentas domestik mahupun Eropah.
Bagaimanapun, Manchester United masih berpeluang pulang melihat kepada pengalaman mereka, namun masih perlu dinilai siapakan barisan pemain Asean All Stars yang akan dipanggil.
Meskipun ramai mahu menyaksikan bintang negara, Arif Aiman Hanapi untuk beraksi, jadual padat akan menyulitkan hasrat itu dengan tonggak lain dalam skuad Harimau Selatan mungkin disenaraikan.
"Kita tahu bagaimana musim sibuk dialami Johor Darul Ta'zim (JDT) dengan tugasan dalam Liga Juara-Juara AFC (ACL) Elite, jadi mungkin pemain mereka mahu tempoh berehat.
"Oleh itu, mungkin pemain seperti Faisal Halim mungkin dipanggil kerana dia pernah berdepan Korea Selatan. Pemain import yang beraksi dalam Liga Malaysia juga boleh disenaraikan seperti Bergson da Silva. Cuma, penyokong pasti masih mengharapkan kehadiran Arif Aiman," katanya lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram