Bergson hampiri rekod Indra Putra, kelab makin kurang percaya kualiti striker lokal


  • Podium
  • Sabtu, 12 Apr 2025

Bergson hanya memerlukan tiga gol lagi untuk memperbaharui rekod jaringan terbanyak sepanjang zaman dalam Liga Super. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

LIMA gol dicetak Bergson da Silva ketika Johor Darul Ta'zim (JDT) membenam Kelantan Darul Naim (KDN) FC dengan keputusan 9-0 menceritakan kualiti dimiliki penyerang dari Brazil itu.

Catatan tersebut menyaksikan tonggak Harimau Selatan itu berjaya memperbaharui rekod gol terbanyak dalam tempoh semusim dengan 31 jaringan berbanding 29 yang pernah dilakukan pada 2022.

Tidak terhenti di situ, Bergson juga berpeluang memadam rekod milik Indra Putra Mahayuddin sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman dalam Liga Super dengan hanya dua jaringan diperlukan.

BACA LAGI: Misi 'do or die', lupakan ke Piala Asia andai bergelut berdepan Nepal — Pekan Ramli

BACA LAGI: 'Lawan tenat' bukan ukuran Tok Gajah bersedia jumpa JDT di final Piala Malaysia

Bergson meledak lima gol ketika berdepan KDN FC di laman sendiri. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Sekiranya pemain berusia 34 tahun itu berjaya meledak hatrik dalam aksi terakhir menentang Kuching City FC pada Rabu depan, dia akan berjaya berbuat demikian, sekali gus mengukuhkan legasinya sebagai import terbaik Liga Malaysia.

Bagaimanapun, di sebalik keriangan dikongsikan penyokong JDT, ada pula beranggapan kejayaan hampir dikecapi Bergson menceritakan situasi sebenar arena bola sepak negara.

Ini kerana satu ketika dahulu, kelab-kelab Liga Super dibanjiri penyerang tempatan berbisa seperti Nizaruddin Yusof, Khalid Jamlus dan Indra Putra dengan masing-masing pernah membawa pulang Anugerah Kasut Emas.

Namun, dalam 10 tahun kebelakangan ini, pasukan lokal terlalu gemar membawa masuk import sehingga menutup peluang penyerang tempatan merebut tempat dalam merebut tempat dalam anugerah penjaring terbanyak.

Tiada anak jati berada dalam senarai penjaring terbanyak Liga Super 2024/25. Facebook/MFL

Keresahan itu turut dikongsikan penganalisis bola sepak tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli yang beranggapan kelab Liga Super meletakkan kepercayaan penuh terhadap pemain luar negara untuk mengetuai jentera serangan.

"Kegagalan untuk melahirkan penyerang tempatan tulen ketika ini adalah disebabkan pasukan lokal cenderung membawa masuk penyerang import. Jadi, kita tidak akan menemui pemain tempatan selaku penjaring utama.

"Kepercayaan menggunakan penyerang lokal semakin menurun kerana tidak nampak kemunculan penyerang yang boleh menjaringkan gol di barisan hadapan," jelasnya kepada Majoriti.

Isu ketandusan peledak tempatan semakin dilihat musim ini apabila dalam senarai penjaring terbanyak Liga Super 2024/25, tiada seorang pun anak jati kelihatan kerana Paulo Josue dan Romel Morales hanya berstatus naturalisasi.

Indra Putra masih memegang rekod gol terbanyak Liga Super dengan 106 jaringan dicatatkan sepanjang karier.

Meskipun Arif Aiman Hanapi masih memiliki rekod jaringan cukup baik, dia bukanlah seorang penyerang tulen memandangkan dia merupakan pemain sayap yang bijak mencetak jaringan.

Dalam pada itu, Pekan turut menegaskan kecenderungan kelab menggunakan peledak import menyukarkan hasrat melahirkan lebih ramai penyerang dengan kebolehan mengetuai jentera serangan.

"Secara tidak langsung, ia akan memberi kesan kepada skuad kebangsaan sehingga kita terpaksa bergantung kepada pemain warisan dan naturalisasi. Jadi, ini menyimpulkan isu tersebut.

"Oleh itu, kita perlu fikir ke hadapan mengenai cara untuk melahirkan penyerang tulen atau asli. Kita perlu bangunkan semula serta beri tumpuan kerana kita bukan hendak cari Khalid Jamlus atau Indra Putra, kita mahu mencari Allahyarham Mokhtar Dahari," katanya lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram