Bergson, sepupu Mac Allister, ‘flop’ Penang antara penyudah paling tajam setiap kali beraksi 'away'


  • Podium
  • Jumaat, 11 Apr 2025

Guaycochea (kiri), Bergson (tengah) dan Dias (kanan) begitu tajam di tempat lawan.

SATU elemen penting dalam bola sepak adalah jaringan. Dengan adanya jaringan, ia membenarkan satu-satu pasukan untuk meraih kemenangan ke atas pihak lawan.

Beraksi di tempat lawan sememangnya sukar dan satu-satu pasukan perlu bekerja lebih keras bagi memastikan kemenangan milik mereka apabila bertandang ke gelanggang musuh.

Dalam saingan Liga Super, terdapat beberapa pemain yang dilihat cukup 'berselera' apabila beraksi di tempat lawan.

BACA LAGI: [VIDEO] Trent kagum 'free kick' bintang JDT, terkejut ada sepupu Mac Allister di Perak

BACA LAGI: Wan Rohaimi tegur ketumpulan Rodrigo Dias, anggap setiap perlawanan aksi final

Bergson da Silva

Satu nama yang tidak boleh ditinggalkan apabila bercakap mengenai jaringan gol adalah bintang Johor Darul Ta'zim (JDT), Bergson da Silva.

Penjaring terbanyak Liga Super itu sememangnya tajam dalam setiap perlawanan disertainya. Sebagai rekod, Bergson sudah menghasilkan 25 gol untuk Harimau Selatan.

Bergson mempunyai nisbah gol di laman sendiri dan tempat lawan yang hampir serupa.

Namun begitu, rekodnya di tempat lawan cukup tajam dengan dia sudah pun menghasilkan 13 gol setakat ini dan jumlah itu melebihi mana-mana pemain lain dalam liga.

Malah, rekod 13 gol itu mengatasi bilangan jaringannya di tempat sendiri setakat ini dengan 12 gol.

Luciano Guaycochea

Selain Bergson, ketua pasukan Perak FC iaitu Luciano Guaycochea sering menggembirakan para penyokong kelab itu dengan jaringan-jaringannya ketika di tempat lawan.

Sepupu kepada pemain Liverpool, Alexis Mac Allister itu menjadi sandaran utama Perak dalam mencari gol di tempat lawan dengan Guaycochea sudah menghasilkan lapan gol.

Guaycochea (depan) sering menyelamatkan Perak dari jarak 12 meter.

Sebagai perbandingan, Guaycochea jauh lebih tajam di tempat lawan untuk Perak berbanding ketika di laman sendiri apabila pemain itu cuma menyumbat tiga gol apabila beraksi dekat Stadium Perak, Ipoh.

Pada aksi bertemu Kuala Lumpur City FC Ahad lalu di Cheras, Kuala Lumpur, Guaycochea turut menjaringkan gol sekali gus membantu Perak meraih kemenangan.

Rodrigo Dias

Tanpa disedari, penyerang yang sering menerima kritikan pedas penyokong Penang FC ini mempunyai tabiat kerap menjaringkan gol di tempat lawan.

Rodrigo Dias mungkin sering 'sakit kepala' apabila kerap dikritik pedas penyokong Penang apabila beraksi di tempat sendiri. Disebabkan itu, dia cuma menghasilkan tiga gol di Stadium Bandaraya, George Town.

Dias (kanan) hanya jaringkan tiga gol liga di laman sendiri musim ini.

Akan tetapi, Dias lebih cemerlang di tempat lawan apabila menghasilkan tujuh gol untuk Penang sekali gus membolehkan dia memperoleh 10 jaringan dalam Liga Super musim ini.

Walaupun tidaklah setajam diharapkan, namun Dias berjaya membuktikan kepakarannya dalam menjaringkan gol ketika beraksi jauh dari Stadium Bandaraya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram