
JARINGAN tunggal dari pertahanan tengah Sabah FC, Dominic Tan membantu Sabah FC menguatkan cengkaman ke posisi ketiga Liga Super selepas menewaskan PDRM FC 1-0 dalam perlawanan Liga Super di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah pada Selasa.
Kemenangan berkenaan membolehkan skuad bimbingan Martin Stano untuk terus selesa menduduki tangga ketiga sekali gus menafikan peluang pesaingan terdekat iaitu Kuching City FC dan Terengganu FC yang mengejar.
Keputusan itu bagaimanapun tidak dapat menutup kelemahan Sabah FC terutama di bahagian serangan yang dilihat semakin tumpul walaupun diterajui oleh penyerang lokal, Darren Lok dan Saddil Ramdani.
BACA LAGI: Tak setuju pemilihan MOTM, fans The Rhinos anggap anak jati Sabah lebih layak
BACA LAGI: [VIDEO] 'Ini saja bawa dari Jepun?', aksi Hadi Fayyadh tolak pemain Sabah dilabel murahan
Sabah sebelumnya mempunyai penyerang import iaitu Joao Pedro namun pemain kelahiran Brazil itu menyertai kelab Ho Chi Minh City di Vietnam secara pinjaman selepas menerima tawaran daripada mereka pada Februari lepas.
Sekiranya Ho Chi Minh City berminat untuk menjadikan Pedro sebagai pemain tetap, ia merupakan peluang keemasan buat Sabah meraih keuntungan susulan penyerang berusia 25 tahun itu mempunyai kontrak sehingga Jun 2025.
Dengan hanya memiliki Darren dan Saddil sebagai tunjang utama di bahagian serangan, sudah tiba masanya Sabah mempertimbangkan beberapa penyerang import untuk menambah baik kualiti jentera hadapan mereka.
Jika Sabah khuatir untuk mengambil pemain yang tidak mempunyai pengalaman dalam saingan, Majoriti mencadangkan tiga bekas penyerang import Liga Malaysia (Liga M) yang boleh menjadi pilihan The Rhinos;
1) Ayron del Valle
Ayron merangkul anugerah Kasut Emas Liga Super musim 2023. — Facebook/SelangorFC
Bekas penyerang prolifik Selangor FC, Ayron del Valle boleh diletakkan dalam senarai buruan Sabah FC ekoran pemain berkenaan membuktikan beraksi pertama kali dalam saingan Liga M tidaklah payah seperti dibayangkan.
Ayron yang beraksi untuk Gergasi Merah untuk satu musim sah merangkul anugerah Kasut Emas Liga Super musim 2023 selepas pemain kelahiran Colombia itu menjaringkan 23 jaringan gol menewaskan pesaing terdekat dari Johor Darul Ta'zim (JDT), Bergson da Silva (21 gol).
Pemain berketinggian 1.75 meter berkenaan seorang penyerang yang versatiliti dengan mampu menjaringkan dari kaki kanan, kiri, dan tandukan. Gol-golnya datang dari pelbagai sudut dan situasi, termasuk penalti dan sepakan terbuka.
Selepas keputusannya tidak mahu menyambung kontrak bersama Gergasi Merah, Ayron beraksi dengan pasukan berpangkalan di Bolivia iaitu Club Always Ready selama setengah musim dan menyertai pasukan baharu di Colombia, CD La Equidad Seguros SA.
Dengan kontraknya akan berakhir pada Jun 2025, skuad The Rhinos boleh mempertimbangkan untuk menggunakan khidmat Ayron pada musim 2025/2026. Dia yang cepat menyesuaikan diri dengan rentak bola tempatan pasti menyenangkan urusan barisan kejurulatihan Sabah.
2) Lucas Silva
Silva antara penyerang import terbaik pernah dimiliki Harimau Kumbang. — Facebook/PenangFC
Penyokong Penang FC pasti masih mengingati bekas penyerang kelahiran Brazil mereka iaitu Lucas Silva susulan dia merupakan watak penting menyelamatkan maruah Harimau Kumbang pada musim 2022.
Meskipun hanya separuh musim 2022 menabur bakti bersama Harimau Kumbang namun impak yang ditinggalkan oleh Lucas Silva cukup hebat. Bersama Penang, Silva yang beraksi sebanyak 15 kali itu menghasilkan 11 gol dan satu bantuan jaringan.
Kecemerlangannya dalam tempoh singkat bersama Penang FC itu memikat Sri Pahang untuk mengikatnya pada musim 2023. Namun, perpindahan itu tidak cukup indah untuk diingati Tok Gajah dan Silva sendiri apabila dia hanya mencatatkan lapan penampilan.
Kemerosotan prestasi dan tidak merekodkan apa-apa gol bersama Penang itu disebabkan masalah kecederaan dengan pemain yang kini berusia 34 tahun itu tidak menjaringkan sebarang gol sepanjang tempoh terbabit.
Silva yang kini menghampiri penamatan kontrak bersama Tai Po di Hong Kong masih menunjukkan bisanya dengan dia merekodkan 27 gol dan 10 bantuan jaringan dalam 36 perlawanan. Ia menjadi faktor besar Sabah untuk mendekati pemain itu.
3) Jou Silva
Jou Silva hanya meledak satu gol buat skuad Harimau Selatan. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Jou Silva adalah seorang penyerang kelahiran Brazil yang menyertai Johor Darul Ta'zim (JDT) pada Mei 2018 selepas meninggalkan kelab Arab Saudi, Al-Batin FC, dengan harapan dapat memperkukuhkan jentera serangan JDT dalam menghadapi baki saingan musim tersebut.
Sepanjang tempoh singkat bersama JDT, Jou hanya membuat empat penampilan dalam Liga Super dan menjaringkan satu gol melalui sepakan penalti ketika menentang Perak. Prestasi kurang memberangsangkan itu menyebabkan dia sukar memberikan impak yang diharapkan oleh pasukan.
Akibatnya, selepas hanya beberapa bulan bersama Harimau Selatan, Jou dipinjamkan ke kelab Emiriah Arab Bersatu iaitu Al-Fujairah SC (Julai - Disember 2018) dan menyertai Al-Qadsiah FC pada musim berikutnya.
Perjalanan karier Jou bersama JDT adalah singkat dan kurang berjaya. Walaupun mempunyai rekod dan pengalaman yang luas di peringkat antarabangsa, dia tidak dapat memberikan sumbangan signifikan kepada pasukan dan menjadikannya import yang tidak memenuhi harapan di JDT.
Meskipun mempunyai pengalaman buruk bersama Harimau Selatan, penyerang berusia 37 tahun itu menjadi pemain penting ketika bersama Al-Batin FC dan Hibernians FC apabila menjaringkan 11 gol dan 14 di peringkat liga. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram