Lama sudah berdiam diri, 3 'coach' berstatus ejen bebas mungkin warnai semula Liga Super 2025/26


  • Podium
  • Khamis, 10 Apr 2025

Dari kiri: Nidzam Jamil, Cheng Hoe dan Yee Fatt masih boleh membawa impak jika diberi peluang.

PELBAGAI perubahan dijangka dilakukan kelab-kelab Liga Super pada pramusim akan datang selepas masing-masing mula mengesan kelemahan dalam pasukan sepanjang musim.

Salah satu rombakan yang mungkin dibuat ialah penggantian ketua jurulatih selepas pihak pengurusan sesetengah pasukan bergelut berasakan pengendali ketika ini tidak membawa hasil terbaik.

Kelab bergelut seperti Kelantan Darul Naim (KDN) FC dan Negeri Sembilan FC dijangka melakukan perubahan itu dalam usaha memberi tentangan lebih baik pada kempen depan.

BACA LAGI: Cheng Hoe disebut-sebut Penasihat Teknikal FAM

BACA LAGI: Bergelut rebut slot top 3 Liga Super, ada baiknya Sabah tagih khidmat Tan Cheng Hoe

Bagaimanapun, rombakan itu juga mungkin dilakukan kelab atasan Liga Super 2024/25 kerana beranggapan prestasi musim ini belum cukup memberangsankan meskipun memiliki skuad yang memuaskan.

Calon terbaik untuk dibawa masuk pastinya jurulatih yang tidak terikat dengan mana-mana pasukan memandangkan kelab berminat tidak perlu membayar sebarang bentuk pampasan.

Malah, melihat kepada pasaran semasa, terdapat tiga pengendali berstatus ejen bebas yang boleh disambar selepas pernah membuktikan kebolehan serta keupayaan sebelum ini.

1. Nidzam Jamil

Kekalahan memalukan 1-6 dialami Selangor FC kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam perlawanan akhir Piala FA 2024 menyaksikan kelab Lembah Klang itu menamatkan khidmat pengendalinya, Nidzam Jamil.

Dia yang ketika itu membawa skuad Gergasi Merah dengan baik, termasuk mencatatkan kemenangan ke atas Jeonbuk Hyundai Motors serta menduduki tangga kedua Liga Super pasti kurang senang dengan keputusan tersebut.

Nidzam Jamil dilepaskan daripada tugasan bersama skuad Gergasi Merah. Facebook/Selangor FC

Jadi, untuk terus membuktikan kebolehannya, pengendali berusia 44 tahun itu pasti tidak sabar untuk kembali ke bidang kejurulatihan jika terdapat pasukan membuat tawaran.

Nidzam juga kelihatan seperti sudah memiliki destinasi pilihan kerana sudah beberapa kali dikesan menyaksikan perlawanan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Negeri Sembilan.

Bagaimanapun sehingga kini, jurulatih muda itu masih belum memberi kata putus dengan skuad Jang masih memberi kepercayaan kepada K Nanthakumar dan sebarang perubahan hanya boleh diketahui pada musim depan.

2. Tan Cheng Hoe

Nasib dialami Nidzam Jamil terlebih dahulu dihadapi mentornya, Tan Cheng Hoe yang secara tiba-tiba meninggalkan Selangor FC dan menyertai pasukan Thailand, Police Tero.

Pemergiannya dari skuad Gergasi Merah sememangnya menimbulkan pelbagai persoalan kerana pada musim sebelumnya, dia berjaya menamatkan penantian pasukan itu ke pentas Asia selepas berada di tangga kedua Liga Super.

Namun, disebabkan percanggahan pendapat dengan pihak pengurusan, Cheng Hoe akhirnya memilih untuk meninggalkan skuad Gergasi Merah dan berkelana ke negara jiran.

Cheng Hoe meninggalkan skuad Gergasi Merah dalam keadaan mengejut. Facebook/Selangor FC

Keputusan itu bagaimanapun tidak membuahkan hasil kerana dia gagal membantu Police Tero mengelak daripada tersingkir ke divisyen kedua yang sekali gus menamatkan tempoh perkhidmatannya di Thailand.

Jadi, untuk kembali menceburi bidang kejurulatihan, pengendali kelahiran Kedah itu sudah tentu lebih teruja untuk berkhidmat dalam Liga Super yang lebih mudah dekat dengannya.

Tetapi, terdapat juga khabar angin mengatakan Cheng Hoe sudah dilamar Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk bertugas sebagai penasihat teknikal dalam organisasi tersebut.

3. Chong Yee Fatt

Meskipun tidaklah pernah membuktikan kualiti sebenar dalam Liga Super, perlu diingatkan bahawa Chong Yee Fatt cukup berpengalaman sepanjang karier kerana pernah membimbing pelbagai pasukan.

Dua pasukan yang sememangnya dekat dengan jurulatih berusia 47 tahun itu ialah kelab di negeri kelahirannya, Perak dan Kuala Lumpur (KL) City selepas pernah terlibat dengan kedua-dua mereka sebelum ini.

Yee Fatt masih boleh mengendalikan pasukan yang berada dalam kelompok pertengahan. — Facebook/Penang FC

Bagaimanapun, perubahan kejurulatihan dalam dua kelab itu seperti mustahil untuk disaksikan pada pramusim depan memandangkan masing-masing berada dalam prestasi memuaskan.

Jadi, sekiranya Yee Fatt mahu kembali aktif, dia boleh memilih pasukan bergelut lain seperti Negeri Sembilan FC atau Penang FC yang dilaporkan mahu melakukan perubahan.

Walaupun tidak boleh menjanjikan 'bulan dan bintang', kehadirannya akan sedikit sebanyak membawa kestabilan melihat kepada rekod dan prestasinya ketika masih terlibat dalam dunia kejurulatihan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram