Pendatang baharu Liga M bukan biasa-biasa, kenali rekrut 3 tonggak ada pengalaman main luar negara 


  • Podium
  • Khamis, 10 Apr 2025

Bunga Raya menghabiskan kempen ditempat keempat walaupun sebagai pendatang baharu. — Facebook/BRDamansara

SELAIN saingan Liga Super, tumpuan juga diberikan kepada saingan Liga A1 Semi-Pro musim 2024/2025 yang menyaksikan sebanyak 15 pasukan mengambil penyertaan untuk merebut kejuaraan kejohanan tersebut.

Selepas 28 perlawanan berlangsung, Melaka FC dinobatkan juara baharu Liga A1 Semi-Pro setelah pasukan tersebut hanya merekodkan satu kekalahan, lima seri dan selebihnya melakar kemenangan pada musim ini. 

Sementara Imigresen FC kekal di tangga kedua dengan kutipan 63 mata selepas 28 perlawanan dan Kuala Lumpur Rovers pula menghuni kedudukan ketiga liga setelah merekodkan 56 mata secara keseluruhan. 

BACA LAGI: Demi dapatkan semula keyakinan, Sumareh dan bintang Selangor, NSFC wajar turun ke Liga A1

BACA LAGI: Tiada tempat dalam Perak, tahu-tahu bek Seladang turun pangkat main Liga M3

 

 

Selain tiga nama pasukan yang dikenali itu, satu lagi kelab tumpuan pada saingan kali ini ialah Bunga Raya (BR) Damansara susulan berhasil menghabiskan kempen di tempat keempat walaupun sebagai pendatang baharu. 

Kelab yang berpusat di Damansara itu secara rasmi diumumkan sebagai kelab terbaharu dalam liga tersebut musim ini, membawa nafas baharu dan semangat segar ke dalam persaingan bola sepak semi-profesional tanah air.

Walaupun hadir sebagai pendatang baharu, Bunga Raya berhasil menagih khidmat beberapa pemain yang pernah beraksi di luar negara bagi menghadapi saingan Liga A1 Semi Pro musim 2024/2025 dan musim depan. 

Oleh itu, kali ini Majoriti menyenaraikan tiga pemain yang mempunyai pengalaman beraksi di luar negara memilih untuk menyarung jersi Bunga Raya Damansara;

1) Kogileswaran Raj 

Kogileswaran sebelum ini bermain untuk Chungbuk Cheongju. — Facebook/BRDamansara 

Bekas pemain kebangsaan, Kogileswaran Raj sah menyarung jersi Bunga Raya Damansara FC pada awal musim 2024/2025 dengan keputusan itu dibuat selepas Penang FC memilih untuk tidak memperbaharui kontraknya. 

Pemain sayap berusia 27 tahun itu beraksi untuk Harimau Kumbang pada separuh kedua musim 2023 dan hanya merekodkan enam perlawanan sahaja. Kogileswaran juga tidak berkesempatan untuk menyumbangkan gol mahupun bantuan jaringan kepada Penang FC.

Melihat peluang keemasan itu, Bunga Raya memutuskan untuk merekrut khidmat Kogileswaran lagi-lagi selepas mereka boleh melihat pengalamannya yang pernah beraksi bersama kelab Korea Selatan, Chungbuk Cheongju. 

Kogileswaran ataupun pemain yang mesra dengan sapaan Kogi itu berkata, dia membuat keputusan untuk menamatkan kontrak secara persetujuan bersama dan pihak Chungbuk turut bertindak membayar pampasan kepadanya.

Untuk rekod, pemain kelahiran Kuala Lumpur itu hanya diturunkan menjadi kesebelasan utama ketika penampilan sulung bagi aksi Piala FA Korea pada Mac lalu dan membantu merekodkan kemenangan 3-0 ke atas Seoul Jungnang FC. 

2) Mathias Mansor

Mathias mewakili universiti di Kamloops selama satu musim 2019. — Facebook/BRDamansara 

Selepas mengambil khidmat Kogileswaran, kelab Lembah Klang itu juga merekrut seorang lagi pemain yang berpengalaman beraksi di luar negara iaitu Mathias Mansor pada saingan musim 2024/2025.

Mathias bukan nama yang popular seperti pemain kacukan lain namun tonggak berusia 28 tahun berkenaan pernah mendapat biasiswa bola sepak di Kanada. Bantuan itu menyaksikan Mathias mewakili universiti di Kamloops selama satu musim 2019.

Pengalaman pemain pasukan Piala Presiden PKNS FC itu bermain bersama pasukan luar negara membuatkan Kelantan United FC mengikat khidmat pemain kacukan Malaysia-Perancis berkenaan pada musim 2020.

Selepas bermain bersama Kelantan dan menyarung jersi Sarawak United selama dua musim (2023-2024), Mathias akhirnya beraksi bersama Bunga Raya Damansara untuk mengembalikan namanya dalam saingan Liga Malaysia. 

Mathias juga sebenarnya pernah menceburi bidang kejurulatihan dengan berkhidmat sebagai jurulatih di akademi Kuala Lumpur Youth Soccer (KLYS) dan jurulatih peribadi di bawah Tekkers Club.

3) Anuar Ceesay

Anuar dikesan menjalani latihan percubaan bersama Bunga Raya Damansara pada baru-baru ini. — Agensi

Berbeza dengan Mathias dan Kogileswaran yang sudah bermain untuk Bunga Raya pada musim lepas, Anuar Ceesay dikaitkan akan menyertai kelab berkenaan pada musim depan untuk memperkuatkan bahagian serangan mereka. 

Khabar angin berkenaan mula timbul selepas pemain sayap warisan England-Gambia-Malaysia berkenaan dikesan menjalani latihan percubaan bersama Bunga Raya Damansara pada baru-baru ini. 

Difahamkan, Anuar mempunyai pertalian darah dengan Malaysia melalui neneknya dan kini beraksi di liga sosial England bersama Leatherhead FC. Perkongsian di laman Instagram menunjukkan bahawa dia sudah tiba di Malaysia baru-baru ini. 

Selepas beberapa hari dikaitkan dengan pasukan tanah air, Anuar akhirnya mendedahkan bahawa pemain berusia 21 tahun itu telah menandatangani kontrak dengan salah sebuah kelab di Malaysia. 

Langkah Anuar yang kembali ke Malaysia untuk beraksi dalam Liga Malaysia pastinya memberi satu lagi dimensi menarik dalam perkembangan bola sepak tempatan dan sudah pasti peminat menantikan kelab mana akan menjadi destinasi seterusnya untuk bakat muda ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram