Piala MFL: KL City FC sanggup turunkan Paulo Josue, 4 bintang skuad utama demi rencatkan musim Selangor


  • Podium
  • Rabu, 09 Apr 2025

Paulo Josue (kanan) merupakan salah seorang daripada lima pemain senior yang diturunkan KL City Extension. — Facebook/Piala MFL

HARAPAN Selangor FC II untuk menjulang Piala MFL musim ini terbantut selepas mereka tewas dalam aksi menentang Kuala Lumpur (KL) City Extension di laman sendiri pada Rabu.

Perlawanan yang penting dalam memintas Johor Darul Ta'zim (JDT) II di persada liga itu berakhir dengan 3-4 kekalahan buat anak-anak buah Abdi Hassan selepas mereka pada awalnya ketinggalan 0-3.

Bagaimanapun, penyokong skuad muda Gergasi Merah berasakan perlawanan tersebut lebih awal tidak berpihak kepada mereka memandangkan pihak lawan hadir dengan beberapa pemain dari pasukan utama.

BACA LAGI: Raih 3 mata di Likas atas bantuan senior, fans The Rhinos cabar kualiti 'ubi muda'

BACA LAGI: [VIDEO] Fans Hijau Kuning berang, mutu pengadilan punca KDA FC B tewas kepada JDT

Skuad muda Warga Kota hadir dengan lima pemain daripada pasukan utama.

Berdasarkan kesebelasan utama dikeluarkan, KL City Extension yang dikendalikan Nidzam Adzha menurunkan bintang seperti Azri Abdul Ghani, Giancarlo Gallifuoco serta kapten, Paulo Josue.

Kehadiran mereka sekali gus menjadi tonik buat skuad muda Warga Kota kerana tiga daripada empat gol dijaringkan hadir daripada pemain senior yang menjadi pertaruhan.

Pendekatan itu membuatkan penyokong Selangor FC II kurang senang memandangkan kekalahan itu menyukarkan hasrat mereka kembali ke kedudukan teratas Piala MFL.

"KL City Extension turunkan skuad utama dengan penyerang utama, tidak pernah mana-mana pasukan turunkan tiga penyerang pasukan utama. Mahu menang punya pasal, kasihan 'ubi muda' tidak dapat beraksi.

"Lawan Selangor FC II yang hantar skuad muda pun. Asal tertubuhnya Piala MFL adalah untuk pemain muda dalam kelompok Bawah 23 Tahun (B-23) asah bakat. Sebab itulah KL tiada pelapis untuk pasukan utama seperti Selangor FC," kata Hazman Bahrudin.

Selangor FC II kini berada satu mata di belakang JDT II memasuki perlawanan akhir Piala MFL.

"KL City Extension sampai turunkan kapten daripada pasukan senior, ada juga pemain kebangsaan dan yang kerap beraksi buat skuad utama dengan masing-masing berusia 30-an. Patutlah Piala MFL dimansuhkan," kata Al-Hafiz Ahmad Fikry.

"Tiba-tiba sahaja KL City Extension turunkan pemain utama dan import walaupun kedudukan dalam Liga Super hanya di tangga keenam. Apa yang nak dikejar pun tak tahu," kata Zaril Ahmad.

Meskipun pendekatan itu kurang digemari ramai, ia tidak melanggar peraturan badan pengelola yang membenarkan lima pemain senior berada di atas padang pada satu-satu masa, termasuk dua import.

Keputusan itu menyaksikan skuad muda Warga Kota melonjak ke tangga keempat, melangkaui Sri Pahang FC dan Kelantan Darul Naim FC II sementara Selangor FC II tersekat di kedudukan kedua.

Namun, skuad muda Gergasi Merah masih berpeluang menyambar takhta Piala MFL daripada JDT II sekiranya mereka meraih kemenangan ke atas Kedah Darul Aman (KDA) FC B dengan syarat pendahulu liga tewas di tangan Penang FC II. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram