Sanggup turunkan pemain senior, fans anggap lawan cuba gagalkan misi Selangor julang Piala MFL


  • Podium
  • Khamis, 10 Apr 2025

Harapan Selangor FC II untuk menjulang Piala MFL musim ini terbantut selepas mereka tewas 3-4 di tangan KL City Extension. — Facebook/Piala MFL

'KALAH bermaruah!'.

Itulah ungkapan yang dilontarkan oleh penyokong tegar Selangor FC II, Faizal Wahid susulan kekalahan tipis di tangan Kuala Lumpur (KL) City Extension di laman sendiri pada Rabu.

Perlawanan yang penting bagi Selangor FC II dalam misi memintas Johor Darul Ta'zim (JDT) II di puncak liga itu berakhir dengan keputusan 3-4 memihak kepada pasukan lawan.

Keputusan itu sekali gus merencatkan impian anak-anak buah Abdi Hassan untuk menjulang Piala MFL musim ini.

BACA LAGI: [VIDEO] Kedah tidak sendirian, ada lagi 3 kelab lain termasuk Selangor bolos lebih 6 gol musim ini

BACA LAGI: Sambut Aidilfitri tanpa ‘income’, kantung Perak FC dilapor makin kritikal, separuh gaji pemain tertunggak

Paulo Josue (kanan) merupakan salah seorang daripada lima pemain senior yang diturunkan KL City Extension. — Facebook/Piala MFL

Kini, Selangor FC II bukan sahaja perlu menewaskan Kedah Darul Aman (KDA) FC B dalam perlawanan terakhir, tetapi juga mengharapkan kekalahan pendahulu liga, JDT II di tangan Penang FC II.

Mengulas mengenai strategi KL City Extension yang menurunkan beberapa pemain senior Liga Super, Faizal menyuarakan rasa kurang senang terhadap tindakan tersebut.

Baginya, keputusan itu seolah-olah dibuat bukan semata-mata untuk meraih kemenangan tetapi mempunyai tujuan tersirat.

Faizal berpandangan bahawa tindakan menurunkan pemain berpengalaman itu dilihat sebagai usaha untuk menyukarkan laluan Selangor FC II dalam mengejar kejuaraan, sekali gus menggagalkan hasrat mereka untuk mengungguli carta liga.

"Apa yang sebenarnya KL City bersungguh-sungguh nak menurunkan beberapa pemain senior mereka sedangkan mereka tidak layak mengejar dua pasukan pendahulu liga.

"Keputusan itu semestinya sasaran untuk mengagalkan Selangor daripada menjulang Piala MFL lebih awal," katanya kepada Majoriti.

Skuad muda Warga Kota hadir dengan lima pemain daripada pasukan utama.

Bagaimanapun, Faizal tetap bangga dan bersyukur atas usaha serta semangat juang tinggi yang ditunjukkan oleh barisan muda Selangor FC II, walaupun berdepan cabaran besar daripada pemain berpengalaman yang turut melibatkan lima pemain import dari Liga Super.

Kapten KL City FC, Paulo Josue, Azri Abdul Ghani, Giancarlo Gallifuoco, Jovan Motika dan Ryan Lambert antara tonggak utama The City Boys yang diturunkan bagi memberi cabaran kepada Selangor FC II.

"Tahniah semua pemain muda Selangor FC kerana menunjukkan semangat juang yang tinggi walaupun lawannya menurunkan ramai pemain senior dari Liga Super termasuklah lima import.

"Namun, Selangor masih ada lagi satu perlawanan bertemu Kedah Isnin depan dan semoga kemenangan milik kita," ujarnya.

Jovan Motika (jersi biru) merupakan salah seorang daripada lima pemain senior yang diturunkan KL City Extension. — Facebook/Piala MFL

Sebagai Presiden Anak Selangor Fans Club (ASFC), Faizal menaruh harapan tinggi agar Selangor FC II mampu menamatkan musim dengan penuh bergaya dalam perlawanan terakhir menentang KDA FC II.

"Harapan saya untuk perlawanan terakhir adalah agar Selangor FC II berjaya mengatasi Kedah dan meraih kemenangan.

"Ini merupakan saat penting yang diharapkan dapat memberikan kenangan manis kepada pasukan Selangor," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram