
KEDAH Darul Aman FC akan mengharungi aksi terakhir mereka di Stadium Darul Aman, Alor Setar dalam aksi Liga Super bertemu Sabah FC pada Sabtu.
Dengan pengurusan kelab merayu penyokong untuk ke Darul Aman buat kali terakhir sebelum kempen liga ditutup dengan pertemuan bertemu Terengganu FC pada 20 April, dijangka ramai pendukung Sang Kenari dijangka turun.
Namun, dengan Sabah masih lagi memburu tempat ketiga Liga Super, mereka pastinya bersedia menambah derita Sang Kenari pada aksi terakhir Kedah di laman sendiri.
BACA LAGI: Tak setuju pemilihan MOTM, fans The Rhinos anggap anak jati Sabah lebih layak
BACA LAGI: Semoga Kedah kembali digeruni — Hidalgo
Perjuangan belum selesai
Bagi Sabah, perjuangan mereka untuk mengesahkan tempat ketiga Liga Super belum selesai walaupun meraih kemenangan ke atas PDRM FC sebelum ini.
Hal ini kerana, pencabar terdekat iaitu Kuching City FC masih boleh mengejar mereka kerana perbezaan tiga mata antara kedua-dua kelab.
Sabah kalahkan PDRM 1-0 di tempat sendiri.
Oleh itu, Sabah pastinya menanggap perlawanan bertemu Kedah amat penting kerana jika keputusan selain menang diraih mereka di Darul Aman pastinya membuka ruang buat The Cats untuk cuba mengejar.
Berbaki dua lagi aksi, Sabah mesti berhati-hati jika tidak impian meraih tempat ketiga pastinya musnah.
Peluang sahkan semuanya
Pertemuan bertemu Kedah memberikan peluang terbaik buat Sabah untuk meraih tiga mata kerana prestasi buruk Sang Kenari.
Dalam dua perlawanan terakhir Kedah, mereka memboloskan 12 gol semasa kalah 1-6 kepada Johor Darul Ta'zim di laman sendiri serta 0-6 sewaktu bertemu Sri Pahang FC.
Kuching City berdepan lawan sukar bertemu JDT.
Oleh itu, motivasi semestinya rendah dalam kalangan pemain Kedah perlu dimanfaatkan oleh Sabah dalam meraih tiga mata. Jika bernasib baik, mereka berpeluang mengesahkan tempat ketiga denga lebih awal jika menang.
Hal ini kerana, aksi seterusnya untuk Kuching CIty adalah berdepan JDT. Jika Kuching seri atau tumpas dalam perlawanan tersebut manakala Sabah menang, tempat ketiga semestinya buat Sang Badak.
Kedah masih ada kudrat
Akan tetapi, Sabah masih perlu berhati-hati walaupun keadaan Kedah sekarang ini yang begitu menderita akibat masalah dalam dan luar padang.
Menjelang aksi terakhir di laman sendiri musim ini, pastinya Kedah mahu menghadiahkan sesuatu yang bermakna buat penyokong mereka sebagai tanda penghargaan kerana terus setia.
Kedah masih ada kekuatan dalam skuad mereka.
Satu-satunya cara yang boleh dilakukan adalah memberikan persembahan terbaik sambil menghadiahkan tiga mata buat penyokong dan mengejutkan Sabah.
Oleh itu, Sabah harus berhati-hati kerana Kedah pasti ada muslihat untuk cuba mendapatkan sesuatu dalam perlawanan itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram