Jika mahu maju, FAM patut ikut cara Korea lantik bekas pemain sertai pucuk pimpinan


  • Podium
  • Khamis, 10 Apr 2025

Zainal (kiri) dan Dollah (kanan) antara bekas pemain menyertai pucuk pimpinan FAM.

BOLA sepak Korea Selatan berubah wajah apabila Persatuan Bola Sepak Korea (KFA) melantik dua jurulatih legenda iaitu Park Hang-seo dan Shin Tae-yong sebagai naib presiden baharu mereka.

Dua jurulatih ikonik bagi kancah bola sepak Asia Tenggara menyertai barisan kepimpinan KFA seramai 27 orang diketuai oleh presidennya, Chung Mong-gyu.

Tugas Park di KFA adalah sebagai penasihat kepada skuad kebangsaan sementara Shin menguruskan hal-hal kerjasama antarabangsa.

BACA LAGI: Cheng Hoe disebut-sebut Penasihat Teknikal FAM

BACA LAGI: Isu palsu dokumen pelesenan kelab, FAM cakap lain, peguam cakap lain

Park Hang-seo (kiri) dan Shin Tae-yon (kanan) kini merupakan orang kuat KFA.

Melihat situasi itu, ia memberikan inspirasi kepada pengurusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk membuka lebih banyak ruang kepada bekas pemain berkualiti menyertai pucuk pimpinan.

Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Sulaiman Hussin berkata, situasi di Korea Selatan boleh diikuti oleh FAM demi memperkasakan bola sepak negara.

Sebagai rekod, dua legenda iaitu Datuk Dollah Salleh dan Datuk Zainal Abidin Hassan sudah menyertai pimpinan FAM sebagai naib presiden dan exco di bawah pimpinan presiden baharu, Datuk Joehari Ayub.

"Tindakan KFA melantik Park dan Shin adalah sangat baik. Ia menunjukkan yang mereka sudah nampak masalah dihadapi dan memilih orang yang tepat untuk menyelesaikannya. Jika di Malaysia, penyertaan Dollah dan Zainal ke dalam FAM menandakan era baharu kerana sebelum ini tidak banyak ruang diberikan kepada bekas pemain.

"Saya harapkan Dollah dan Zainal akan menggunakan jawatan mereka di FAM untuk meningkatkan aspek akar umbi dan remaja berdasarkan pengalaman luas dimiliki mereka dalam bola sepak tempatan," kata Sulaiman kepada Majoriti.

Sulaiman Hussin.

Dalam pada itu, Sulaiman turut mengatakan penyokong pastinya menyambut baik usaha FAM jika mereka memberi lebih ruang kepada bekas pemain.

Pengalaman sewaktu menjadi pemain pastinya berguna dalam membantu badan induk seperti FAM merencana masa depan dengan lebih baik.

"Pada saya, majoriti penyokong akan menerima baik apabila bekas pemain bola sepak berada dalam kepimpinan FAM atau pun menerajui persatuan bola sepak negeri.

"Kita berharap pengalaman mereka sewaktu bermain bola sepak digunakan semasa mereka memimpin persatuan.

"Kita juga berharap, pimpinan tertinggi persatuan turut mahu mendengar pandangan dan saranan daripada bekas pemain supaya kita terus berusaha membaiki dan tambah baik sistem pembangunan bola sepak negara," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram