
SATU lagi kekalahan memalukan dialami Kedah Darul Aman (KDA) FC dalam Liga Super musim ini apabila mereka tewas besar 0-6 kepada Sri Pahang FC dalam pertembungan pada Selasa.
Dalam perlawanan itu, skuad Tok Gajah mudah menjaringkan enam gol yang gagal dibalas pasukan pelawat untuk meraih tiga mata penuh, sekali gus membawa mereka ke tangga kesembilan carta.
Kemenangan tersebut diharapkan mampu menyuntik semangat buat anak-anak buah Fandi Ahmad yang akan berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam perlawanan akhir Piala Malaysia kurang dari sebulan lagi.
BACA LAGI: [VIDEO] Bolos 6 gol, fans Sang Kenari puji semangat juang Ifwat Akmal selamatkan penalti Hidalgo
BACA LAGI: 'Mereka lebih menonjol', Ubaidullah akui duo muda KL City-Selangor lebih layak raih gelaran ABK
Hidalgo menyuarakan perasaan simpati terhadap nasib dialami skuad Sang Kenari.
Namun, di sebalik kemeriahan atas kemenangan itu, sesetengah penyokong Tok Gajah sempat berasa simpati terhadap KDA FC yang sekali lagi tampak tidak berupaya disebabkan isu gaji tidak berkesudahan.
Malah, episod buruk dialami anak-anak buah Victor Andrag itu turut menerima simpati tonggak Sri Pahang FC, Manuel Hidalgo yang sempat menzahirkan rasa sebak terhadap pasukan lamanya itu.
"Penghargaan tertinggi diberikan buat semua pemain dan kakitangan Kedah. Saya berharap semua perkara kembali ke asal dan mereka boleh kembali menjadi pasukan seperti mana pernah digeruni dahulu," tulisnya dalam hantaran Instastory.
Hidalgo tidak berkesempatan meletakkan dirinya dalam senarai penjaring selepas penalti diambilnya berjaya ditepis Ifwat Akmal, namun dia mencatatkan satu bantuan jaringan.
Pemain pinjaman dari Johor Darul Ta'zim (JDT) itu sudah tentu sebak melihat keadaan semasa skuad Sang Kenari kerana pernah berkhidmat buat pasukan berkenaan selama semusim pada 2023.
Hidalgo meninggalkan impak cukup besar buat skuad Sang Kenari. — Facebook/KDA FC
Meskipun hanya menghabiskan tempoh singkat, Hidalgo memberi impak besar buat kelab Utara tanah air berkenaan dengan empat gol dan 10 bantuan jaringan direkodkan dalam 28 penampilan secara keseluruhan.
Bagaimanapun, isu pengurusan dialami KDA FC sejak pertengahan musim lalu menyaksikan Hidalgo meninggalkan mereka dan menyertai JDT sebelum menyertai Sri Pahang FC secara pinjaman.
Kehadirannya dalam skuad Tok Gajah ketika ini membawa perbezaan besar apabila mereka melangkah ke pentas akhir Piala Malaysia buat kali pertama sejak 2014, namun berkemungkinan tidak dapat beraksi disebabkan klausa dalam kontrak.
Luahan simpati disampaikan pemain kelahiran Argentina itu sudah tentu diterima baik bekas rakan sepasukannya serta penyokong Kedah yang tidak putus mengharapkan magis terhadap kelab itu.
Ini merupakan kekalahan kelima berturut-turut dialami skuad Sang Kenari yang dibolosi sebanyak 20 kali dalam tempoh tersebut dengan keputusan itu meletakkan mereka sebagai pasukan ketiga tercorot. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram