Anggap 2 gol lawan Kedah sebagai hadiah 'birthday', bakar adrenalin Aguero menjelang final Piala Malaysia


  • Podium
  • Khamis, 10 Apr 2025

Aguero kini semakin bersemangat untuk turun bertemu JDT.

PEMAIN Sri Pahang FC, Sergio Aguero berada dalam motivasi terbaik menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia selepas berjaya membantu kelabnya menewaskan Kedah Darul Aman FC 6-0 dalam aksi Liga Super pada Selasa.

Aguero yang menjaringkan dua gol dalam aksi itu menganggap ia adalah hadiah terbaik buat hari kelahirannya ke-31 yang jatuh pada Isnin lalu.

Dengan isu tunggakan gaji turut selesai, dia menganggap kem Sri Pahang berada pada tahap terbaik untuk bertemu Johor Darul Ta'zim (JDT).

BACA LAGI: Luka masih belum terubat, Perak FC dituntut balas dendam ke atas Sri Pahang

BACA LAGI: 'Bila liga nak habis?' kepak Kenari tak sanggup lihat derita Kedah mudah diratah Sri Pahang

Sri Pahang membenam Kedah Darul Aman 6-0 di Temerloh.

"Ia rasa sangat baik selepas menjaringkan dua gol, sehari selepas hari jadi saya tetapi tiga mata adalah yang kami mahukan sebenarnya serta memberikan senyuman kepada penyokong.

"Pasukan kini berada dalam semangat yang baik beberapa minggu lalu terutamanya selepas menewaskan PDRM FC yang kami kalahkan dengan keputusan 3-1. Sekarang menang 6-0 pula, lagi kami bersemangat.

"Tambahan pula, suasana bilik persalinan semakin baik selepas urusan gaji tertunggu sudah selesai," kata Aguero.

Walaupun motivasi berada pada keadaan baik, namun Sri Pahang masih dihantui isu ketiadaan penyerang selepas Kpah Sherman tidak boleh diturunkan bertemu JDT akibat digantung perlawanan.

Bagi pengendali Tok Gajah, Fandi Ahmad, mereka masih mencari pemain yang boleh dijadikan sandaran untuk beraksi sebagai penyerang utama.

Sehingga tamat Liga Super, Fandi memberikan peluang kepada para pemainnya menunjukkan kebolehan dalam mengetuai serangan menjelang aksi akhir.

"Kami masih mencari pemain yang tepat, seseorang yang boleh menterjemah segala peluang dengan berkesan. Masih lagi ada masa untuk benarkan setiap pemain menonjolkan kekuatan mereka sebelum perlawanan akhir Piala Malaysia.

"Sudah lama kami tidak ke perlawanan akhir dan peluang itu sudah ada, pemain kelihatan begitu bersemangat dan cukup bermotivasi," jelas Fandi. — The Star/T. AVINESHWARAN

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram