
SABAH FC kembali merampas tangga ketiga carta Liga Super selepas menang tipis 1-0 ke atas PDRM FC untuk menambah tiga mata dalam aksi yang berlangsung di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah pada Selasa.
Gol tunggal Sang Badak itu dijaringkan menerusi tandukan pemain pertahanannya, Dominic Tan selepas menyambut bola sepakan sudut Saddil Ramdani pada minit ke-42.
Harapan Sabah untuk menambah gol kedua menerusi sepakan penalti pada minit ke-67 selepas penyerangnya yang baru dimasukkan, Muhammad Jafri Chew dijatuhkan juga tidak kesampaian.
BACA LAGI: 'Kemenangan berbaloi', YCL buat keputusan tepat kekalkan Azfar walaupun alami kecederaan lutut
BACA LAGI: [VIDEO] Malang berkali ganda, hanya 17 pemain termasuk kiper perkuat Kedah ketika jumpa Pahang
Penyokong Sabah beranggapan Rawilson Batuil lebih layak bergelar MOTM. — Facebook/Sabahfc
Jafri dijatuhkan pertahanan PDRM, Kyaw Min Oo di kawasan kotak penalti sebelum diberi sepakan penalti oleh pengadil, Muhammad Izzul Fikri Kamaruzzaman, namun dibatalkan susulan semakan video bantuan pengadil (VAR).
Pembatalan itu dilakukan selepas pengadil mengambil kira kesalahan pemain Sabah yang berlaku sebelum Jafri dijatuhkan di kotak penalti.
Begitupun, jaringan tunggal daripada pertahanan Sabah FC itu sudah cukup untuk memastikan Sang Badak tidak keciciran mata di laman sendiri.
Dalam pada itu, hasil tandukan yang dilakukan oleh Dominic itu membuatkan namanya diangkat sebagai pemain terbaik perlawanan (Man of The Match) untuk aksi tersebut.
Namun begitu, penyokong Sang Badak mempunyai pendapat berbeza. Pada mereka, anak jati kelahiran Sabah iaitu Rawilson Batuil dilihat lebih layak untuk mendapat pengiktirafan tersebut.
"Rawilson yang lebih layak dapat MOTM,sebab memang perform dia jaga benteng Sabah," kata Ronald Adam.
"Rawilson bah yang patut dapat MOTM, sebab banyak juga dia tackle dan selamatkan bola," kata Hady Hamid.
"Pendapat saya peribadi, Rawilson sepatutnya dapat MOTM," kata Vijay Raman.
Skuad kendalian Martin Stano ketika ini berada di kedudukan ketiga liga dengan 39 mata berbeza tiga mata di hadapan Kuching City FC.
Selepas ini, Sabah akan berkunjung ke Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah untuk menentang Kedah Darul Aman FC pada 12 April. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram