[VIDEO] Mudah benam Kedah sampai 6 gol, Fandi Ahmad masih belum puas mutu serangan Pahang


  • Podium
  • Rabu, 09 Apr 2025

Kemenangan ke atas skuad Sang Kenari meletakkan skuad Tok Gajah ke tangga kesembilan Liga Super. — Facebook/Sri Pahang FC

KEMENANGAN besar dicatatkan skuad Tok Gajah ketika menerima kunjungan Kedah Darul Aman (KDA) FC pada Selasa apabila mereka mudah menjaringkan enam gol tanpa dibalas.

Perlawanan itu pada awalnya menyaksikan Sergio Aguero dan Aleksander Cvetkovic menjaringkan dua gol pada babak pertama untuk meletakkan tuan rumah dengan dua gol di hadapan.

Namun, pada 45 minit permainan kedua, Sri Pahang FC menampilkan kualiti serangan terbaik dengan mencatatkan empat lagi jaringan untuk menyaksikan mereka meraih kemenangan 6-0.

BACA LAGI: Prestasi liga jejas keyakinan Sri Pahang harung final Piala Malaysia — Fandi Ahmad

BACA LAGI: Fandi: Mujurlah rentetan tanpa kemenangan terhenti selepas tujuh perlawanan

Fandi masih mengesan beberapa kelemahan ketara dalam skuad Tok Gajah. Facebook/Sri Pahang FC

Keputusan itu sudah tentu membawa keriangan buat pasukan Pantai Timur itu kerana sepanjang kempen 2024/25, mereka bergelut untuk merekodkan lebih banyak gol.

Bagaimanapun, kejayaan meledak enam jaringan di laman sendiri belum cukup memuaskan pengendali skuad Tok Gajah, Fandi Ahmad yang berasakan anak-anak buahnya belum berada dalam prestasi terbaik.

"Alhamdulillah, kita dapat raih tiga mata. Tetapi, pada babak pertama, kita belum bermain sebaiknya kerana setelah membuat pertukaran, barulah kita nampak perubahan dan mendominasi permainan pada 10 ke 15 minit terakhir permainan.

"Tetapi, saya lihat kita terlalu kerap kehilangan bola, kira-kira 15 kali. Di situ kita perlu perbaiki, mungkin kerana sudah lama tidak beraksi. Untungnya juga kita mengadakan aksi persahabatan walaupun bukan berdepan pasukan atasan," katanya kepada wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.

Kemenangan di Stadium MP Temerloh, Pahang tersebut menyaksikan skuad Tok Gajah mendaki ke tangga kesembilan Liga Super dengan masih terdapat dua perlawanan untuk memperbaiki lagi kedudukan mereka.

Selain itu, sekiranya berjaya mencatatkan keputusan lebih baik selepas ini, Sri Pahang FC pasti dapat membina momentum menjelang pentas akhir Piala Malaysia menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) pada 26 April depan.

Harapan tersebut turut diletakkan Fandi yang bagaimanapun mengakui pasukannya perlu melakukan penggiliran untuk memastikan skuad terbaik tersedia bagi perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur itu.

"Kita harus ingat untuk memberi peluang buat pemain-pemain lain kerana kita mahu dapatkan kesebelasan utama terbaik bagi perlawanan akhir itu selain dalam baki aksi Liga Super. Namun, saya juga ada kerisauan kerana dalam perlawanan tadi (Selasa), terdapat dua, tiga pemain alami kecederaan," jelasnya.

Selepas ini, skuad Tok Gajah akan bertandang ke Stadium Manjung, Perak untuk berdepan skuad The Bos Gaurus (TBG) pada Sabtu ini sebelum menutup kempen kali ini dengan aksi menentang Penang FC di laman sendiri pada 19 April. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram