
SRI Pahang FC terus berdepan cabaran besar menjelang final Piala Malaysia menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) pada 12 April selepas kekalahan 2-0 kepada Kuching City dalam perlawanan Liga Super pada Selasa.
Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh, gol daripada Yuki Tanigawa pada minit ke-14 dan Zahrul Nizwan pada masa tambahan memaksa skuad Tok Gajah menanggung kekalahan.
Ketua Jurulatih Pahang, Fandi Ahmad, mengakui terdapat perbezaan sikap pemain dalam saingan Liga Super dan Piala Malaysia dengan kurangnya tumpuan sebagai masalah utama.
BACA LAGI: Tak tercalon TOTW ke-8, JDT tetap boleh berbangga 'selevel' jaguh Jepun
BACA LAGI: 'Kononnya Buriram United kacau gameplay', isu padang punca JDT pulang tangan kosong
Pengendali Sri Pahang FC, Fandi Ahmad akui merasa hairan dengan prestasi berbeza pasukan itu dalam saingan Liga Super dan Piala Malaysia. — Facebook/Sripahangfc
Fandi mendedahkan bahawa pasukannya itu kehilangan disiplin, formasi tak menentu dan intensiti menurun selepas separuh masa pertama.
Malah, ketiadaan penyerang utama turut menambah kesukaran pasukan Pantai Timur itu untuk meraih sebarang kemenangan dalam pertemuan bertemu The Cats.
Fandi turut menegaskan bahawa dengan hanya dua perlawanan liga sebelum final Piala Malaysia, pemain perlu menyedari kepentingan perlawanan tersebut, terutama bagi mereka yang belum pernah beraksi di final.
“Kami kehilangan disiplin, formasi kami kucar-kacir dan ketika kami mengasak dengan baik pada separuh masa pertama, intensiti kami menurun ketika permainan berlangsung. Keadaan menjadi lebih teruk dengan ketiadaan penyerang utama.
“Kami mempunyai dua perlawanan lagi sebelum perlawanan akhir Piala Malaysia, jadi diharapkan pemain sedar apa yang dipertaruhkan terutama mereka yang tidak pernah beraksi di final.
"Perbezaan prestasi antara perlawanan Piala Malaysia dan Liga Super sangat jelas. Dalam Piala Malaysia, kami bermain dengan motivasi, disiplin dan kerja berpasukan, tetapi dalam liga, kelebihan itu nampaknya hilang.
“Itulah sebabnya keputusan kami mengecewakan dan kami bergelut untuk mengutip mata,” katanya.
Dengan musim Liga Super hampir menutup tirai, Fandi berharap pasukannya dapat meningkatkan prestasi memandangkan selepas 20 perlawanan, Pahang hanya mencatat tiga kemenangan, lapan seri, dan sembilan kekalahan sekali gus menduduki tangga ke-11 dengan 17 mata.
Dalam pada itu, Pahang perlu segera memperbaiki prestasi untuk memastikan mereka tampil dengan keyakinan tinggi dalam final Piala Malaysia yang semakin dekat. — The Star/ADAM ZAMRI
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram