Fandi: Mujurlah rentetan tanpa kemenangan terhenti selepas tujuh perlawanan


Oleh M. AZIM
  • Podium
  • Ahad, 09 Mac 2025

Fandi mahu anak-anak buahnya meningkatkan konsentrasi untuk mempersiapkan diri menghadapi final Piala Malaysia. — Facebook/SriPahang

Bola Pegun kembali menemui pembaca. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka jurulatih, pemain mahupun pasukan mengejar kejayaan dalam saingan Liga Malaysia musim 2024/25.

KITA seakan-akan dapat mengagak apa yang terlintas di fikiran ketua jurulatih Sri Pahang FC, Fandi Ahmad, apabila PDRM FC bangkit untuk mengikat kedudukan 1-1 selepas 52 minit aksi di Stadium Selayang pada Sabtu.

Mungkinkah rentetan tanpa kemenangan barisan Pantai Timur itu akan berlanjutan lagi untuk mereka terus dirundung kecewa?

Berdasarkan prestasi semasa, ramai penyokong pasukan sudah dapat menjangka bahawa Sri Pahang FC berisiko besar untuk tewas dalam perlawanan ini.

BACA LAGI: Seorang pemaaf, seorang lagi dirundung kecewa — begitulah resmi bola sepak

BACA LAGI: Tidak seperti Ligue 1, pemain Muslim terus diberi masa berbuka puasa dalam Liga-A

Perlawanan antara The Cops dan Tok Gajah boleh dikatakan sebagai 'tutup mata pun sudah tahu' -- memberi gambaran keyakinan penyokong bahawa Sri Pahang FC kemungkinan besar akan mengalami kekalahan lagi. Tetapi ternyata kesudahannya berbeza malam tadi.

Terdahulu, skuad Tok Gajah itu mendapat permulaan diharap-harapkan apabila Stefano Brundo menanduk masuk daripada sepakan penjuru Manuel Hidalgo pada minit ke-38, hanya untuk kegembiraan mereka bertahan cuma 14 minit apabila Bruno Suzuki mengimbangi kedudukan pada minit ke-52.

Lebih menyuntik semangat buat tuan rumah, ia bukan calang-calang jaringan kerana lencongan Suzuki dari luar petak penalti menjunam tepat pada masanya untuk menewaskan Zarif Irfan Hashimuddin yang hanya mampu menerpa angin di pintu gol Sri Pahang FC.

“Pasukan PDRM sangat bahaya dengan adanya (Bruno) Suzuki. Dia dapat satu peluang, dia cetak gol. Tapi kita dapat mengelakkannya daripada dapat peluang banyak,” kata Fandi dalam temu bual seusai perlawanan yang bersaksikan cuma 92 penonton itu.

Berbanding perlawanan-perlawanan terdahulu apabila keyakinannya mudah rapuh dalam situasi sedemikian – mendahului sebelum lawan bangkit mengikat kedudukan – jurulatih itu mendapat firasat berbeza bahawa separuh masa kedua akan memihak mereka.

“Kita dah jangka Kpah (Sherman) akan cetak gol dalam babak kedua kalau peluang dia ada. Mungkin kerana lawan lebih tertumpu untuk bertahan, ini beri ruang untuk kita menyerang.

“Pemain-pemain kita ini hari lebih berkesungguhan, penuh dengan disiplin dan karakter. Alhamdulillah kita dapat pungut tiga mata,” tambahnya.

Sherman mengembalikan Sri Pahang FC sebagai pendahulu dalam perlawanan itu apabila mudah menolak masuk menewaskan Bryan See pada minit ke-72 selepas percubaan terdahulu Baqiuddin Shamsudin dari luar kotak penalti hanya mampu ditampan penjaga gol itu.

Gandingan kedua-dua pemain yang sama melebarkan pendahuluan Tok Gajah kepada 3-1 berselang enam minit kemudian. Baqiuddin meloloskan hantaran kepada Sherman bagi menggelecekkan See sambil Badrul Afendy Fadzli dan Amir Saiful Badeli terlewat untuk menutup ruang.

“Paling penting hari ini kita dapat lega sedikit setelah kalau tak silap saya tujuh atau lapan game kita tak menang,” tambah Fandi.

Sherman sudah mencetak sembilan gol dalam kejohanan domestik untuk Sri Pahang musim ini. — Facebook/SriPahang

Selepas kemenangan terakhir 1-0 ke atas Perak FC di Ipoh pada 13 Disember lalu, Sri Pahang FC tewas 1-3 kepada JDT (17 Dis), tewas 1-2 kepada Negeri Sembilan FC (10 Jan), seri 1-1 dengan Kuala Lumpur City FC (26 Jan), tewas 0-2 kepada Selangor FC (8 Feb), seri 2-2 dengan Sabah FC (16 Feb), tewas 1-5 kepada Terengganu FC (27 Feb), dan tewas 0-2 kepada Kuching City FC (4 Mac).

Selepas kekalahan terakhir kepada Kuching City FC itu, Fandi mengakui terdapat perbezaan sikap pemain dalam saingan Liga Super dan Piala Malaysia dengan kurangnya tumpuan, kehilangan disiplin, formasi tak menentu dan intensiti menurun selepas separuh masa pertama sebagai masalah utama.

Dengan hanya dua perlawanan liga sebelum final Piala Malaysia, katanya, pemain perlu menyedari kepentingan perlawanan tersebut, terutama bagi mereka yang belum pernah beraksi di final.

"Perbezaan prestasi antara perlawanan Piala Malaysia dan Liga Super sangat jelas. Dalam Piala Malaysia, kami bermain dengan motivasi, disiplin dan kerja berpasukan, tetapi dalam liga, kelebihan itu nampaknya hilang. Itulah sebabnya keputusan kami mengecewakan dan kami bergelut untuk mengutip mata,” katanya ketika itu. 

Kejayaan menundukkan PDRM FC malam tadi bagaimanapun menyuntik kembali keyakinan yang telah lama lekang daripada pasukan.

Selepas ini, Tok Gajah akan menentang Kedah di Stadium Temerloh pada 6 April. — Facebook/KDAFC

“Mudah-mudahan lepas ni kita akan cuba pamerkan permainan yang lebih baik. Dan mungkin perlawanan akan datang, kita harus (tingkatkan) konsentrasi untuk mempersiapkan diri menghadapi final Piala Malaysia (pada 12 April),” katanya merujuk kepada aksi liga ke-22 mereka dengan menjadi tuan rumah kepada Kedah Darul Aman (KDA) FC pada 6 April.

Adakah perlawanan ini memberi lebih keyakinan untuk menghadapi aksi final?

“Pasti kita dapat keyakinan sedikit. Tapi kita harus beri peluang pemain lain pasal kita ada dua pemain tak mungkin main dalam final.

“Sebab itu kita keluarkan Kpah dan Manu (Hidalgo) yang tak akan dapat bermain. Dari sekarang kita akan cuba mainkan pemain yang mungkin akan menyarung jersi kesebelasan dalam perlawanan dengan Kedah dan juga JDT nanti,” katanya lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram