[VIDEO] Sebelum Sri Pahang hilang Kpah di final, JDT lebih awal rasa pahit hilang 3 tonggak akibat penggantungan


  • Podium
  • Rabu, 09 Apr 2025

Kpah terpaksa melupakan perlawanan akhir Piala Malaysia 2024/25 selepas FAM enggan menarik penggantungan yang dikenakan.

KEPUTUSAN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk mengekalkan penggantungan terhadap penyerang Sri Pahang FC, Kpah Sherman bagi perlawanan akhir Piala Malaysia 2024/25 menerima respons pelbagai.

Penyokong skuad Tok Gajah sudah tentu berasa kurang senang dengan perkara itu kerana mereka tidak memiliki pilihan lain untuk memikul peranan sebagai penyerang utama.

Tidak cukup dengan itu, kehilangan penyerang kebangsaan Liberia tersebut menyaksikan pasukan Pantai Timur itu kehilangan kapten berpengaruh dalam pasukan selepas diberikan peranan berkenaan sejak musim lalu.

BACA LAGI: Sah tak beraksi final Piala Malaysia, fans harap Hidalgo ubati kehilangan Kpah Sherman

BACA LAGI: Fandi pasrah hilang khidmat Kpah, mula cari resipi baharu berdepan JDT

Sri Pahang FC berdepan cabaran getir daripada JDT dalam perlawanan akhir Piala Malaysia. Facebook/MFL

Keresahan tersebut membuatkan rata-rata peminat setia Sri Pahang FC beranggapan mereka tidak mempunyai peluang untuk memberi cabaran terhadap Johor Darul Ta'zim (JDT) pada pentas akhir itu nanti.

Bagaimanapun, nasib sama juga pernah dialami skuad Harimau Selatan pada tahun-tahun lalu apabila tonggak utama mereka diberi penggantungan sehingga tidak berpeluang beraksi dalam perlawanan akhir.

Meskipun turut melakukan permohonan untuk menarik hukuman tersebut, pasukan berkenaan terpaksa akur dengan keputusan FAM sehingga terpaksa mencari pengganti kepada mereka yang tidak dapat diturunkan.

Berdasarkan rekod terdahulu, terdapat tiga pemain JDT yang pernah dikenakan penggantungan menjelang perlawanan akhir, baik disebabkan kad kuning terkumpul mahupun akibat dibuang padang di pusingan separuh akhir.

1. Aidil Zafuan Abdul Radzak

Pada awal kemunculan skuad Harimau Selatan, mereka berpeluang menjulang trofi pertama dalam sejarah kelab selepas berjaya melangkah ke perlawanan akhir Piala FA 2013.

Bagaimanapun, cabaran besar menanti JDT yang ketika itu dikendalikan Fandi Ahmad kerana berdepan Kelantan yang baru sahaja meraih gelaran treble pada musim sebelumnya.

Tetapi, kelab Selatan tanah air tersebut mempunyai peluang cerah sekiranya dapat menurunkan pasukan terbaik andai bek tengah pasukan, Aidil Zafuan dapat beraksi.

Aidil Zafuan terpaksa melupakan peluang beraksi dalam perlawanan akhir Piala FA 2013.

Dia yang dihukum selepas dilayangkan kad merah terpaksa akur dengan keputusan FAM yang mengenakan penggantungan dua perlawanan, termasuk perlawanan akhir Piala FA.

Ketiadaan bekas pemain kebangsaan itu menyaksikan skuad Harimau Selatan ditundukkan 0-1 oleh Kelantan dengan posisi bek tengah itu diisi Tharmini Saiban yang sudah berusia pada ketika itu.

2. Fazly Mazlan

Sejak ditubuhkan pada 2012, JDT juga tidak terkecuali daripada memberi peluang terhadap anak jati Johor untuk beraksi dalam pasukan dengan Fazly Mazlan merupakan salah seorangnya.

Bagaimanapun, bek kiri itu juga pernah berputih mata untuk beraksi di pentas final apabila digantung sebelum perlawanan akhir Piala FA 2016 menentang PKNS FC.

Dalam kejohanan tersebut, Fazly dilayangkan dua kad kuning yang sekali gus menyaksikannya terlepas pertembungan berkenaan sehingga memaksa Jasazrin Jamaluddin beraksi dalam posisi itu.

Fazly Mazlan diketepikan daripada pentas final Piala FA 2016 disebabkan penggantungan.

Namun, tuah berpihak kepada skuad Harimau Selatan dalam perlawanan berkenaan apabila mereka mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas pasukan Lembah Klang itu hasil jaringan Safiq Rahim dan Jorge Pereyra Diaz.

Penggantungan itu juga tidak menjejaskan hubungan Fazly dengan pasukan itu kerana dia kekal sehingga 2020 sebelum berpindah ke Sri Pahang FC dan kini dia beraksi buat Selangor FC.

3. Safiq Rahim

Skuad Harimau Selatan hanya menjulang satu trofi pada 2021 selepas tewas dalam perlawanan akhir Piala Malaysia kepada Kuala Lumpur (KL) City FC yang mencipta kejutan ramai.

Pertembungan di Stadium Nasional Bukit Jalil, KL itu menyaksikan JDT ditundukkan 0-2 dengan kehilangan pemain tengah merangkap kapten pasukan, Safiq Rahim amat dirasai.

Tonggak pasukan Selatan tanah air tersebut terpaksa melupakan penampilan dalam aksi final setelah dilayangkan kad merah dalam aksi separuh akhir kedua menentang Terengganu FC.

Dalam perlawanan tersebut, Safiq dibuang padang pada babak pertama selepas menanduk tonggak lawan, Faisal Halim dengan pengadil tidak berfikir lama untuk memberi hukuman terbabit.

Kehilangan pemain senior pasukan itu sekali gus menyaksikan skuad Harimau Selatan hilang keseimbangan di tengah padang meskipun pasukan mereka lebih lengkap berbanding KL City FC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram