
RABU lalu, Menteri Besar Kedah merangkap Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Mohammad Sanusi Md Nor mengesahkan pihaknya masih giat membantu Kedah Darul Aman (KDA) FC yang mengalami masalah kewangan.
Dalam perkongsian dibuat, beliau mengesahkan kerajaan negeri masih menyalurkan RM200,000 sebulan dalam usaha melangsaikan baki hutang ditampung sejak beberapa tahun lalu.
Kenyataan tersebut diberikan selepas penyokong Sang Kenari menzahirkan penghargaan terhadap pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyalurkan sumbangan sempena sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.
BACA LAGI: Kita tanggung RM200,000 sebulan supaya KDA FC dapat lesen MFL, tak bising pun — Sanusi
BACA LAGI: Tiada pemain KDA FC jumpa saya — Sanusi
Sanusi menegaskan pihak kerajaan negeri masih menyalurkan dana buat KDA FC. — Facebook/Kedah FA
Jadi, ini menunjukkan Menteri Besar Kedah itu tidak bersikap lepas tangan dalam membantu KDA FC meskipun tanggungjawab itu sepatutnya dipikul penuh pihak pengurusan kelab selepas penswastaan dilakukan tiga tahun lalu.
Malah, pada Khamis, KFA turut menjelaskan pelbagai jenis bantuan turut dihulurkan kepada kelab tersebut dalam usaha memastikan skuad Sang Kenari dapat beraksi di peringkat domestik dan di pentas Asia jika layak.
"Penyelesian ini adalah sebahagian daripada persetujuan yang dimeterai bagi membolehkan KDA FC mendapat kelulusan Perlesenan Kelab untuk bertanding di Liga Super (MFL) dan peringkat Asia (AFC).
"Untuk rekod, KFA juga masih menyediakan wang deposit pemain asing berjumlah RM1.1 juta kepada pasukan KDA FC. KDA dalam masa sama turut perlu berfungsi dan memainkan peranan sebagai mana digariskan FAM, selaras dasar pemisahan penuh FA dan FC sejak 2022," tulisnya.
Penjelasan diberikan itu membuktikan pelbagai pihak masih memainkan peranan dalam memastikan kelab Utara tanah air berkenaan akan terus beraksi musim depan dan tidak 'dikuburkan' seperti mana diuar-uarkan sebelum ini.
Penyokong Sang Kenari sudah tentu terharu dengan usaha berterusan daripada pelbagai pihak. — Facebook/KDA FC
Malah, kerjasama tersebut membuatkan ramai penyokong berpuas hati dengan usaha ditampilkan memandangkan Kedah sudah berentap dalam arena bola sepak tanah air untuk kira-kira 100 tahun.
"OK lah tu, kerajaan negeri bantu persatuan dengan Menteri Besar, NGO dan Menteri pun pakat membantu untuk meringankan bebanan pejuang bola sepak negeri dalam menyambut Syawal," kata Shahron Nizan.
"Bagus kalau lihat begini, semua pihak bekerjasama demi Kedah. Jika hendak bergantung kepada satu pihak sahaja, sukar rasanya dengan kos hari ini yang semakin meningkat," kata Nizam Adzha.
Sebelum ini, terdapat ura-ura mengatakan skuad Sang Kenari tidak akan bersaing dalam Liga Super musim depan berikutan masalah kewangan yang semakin meruncing saban tahun.
Isu tersebut menyaksikan pemain dan barisan kejurulatihan kelab bergelut dari segi kebajikan kerana masing-masing difahamkan tidak menerima bayaran gaji selama beberapa bulan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram