
KEPUTUSAN Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk memansuhkan Piala MFL membuka ruang kepada rombakan struktur bola sepak belia dan Bawah 23 Tahun di Malaysia.
Menurut bekas jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dan Selangor FC, Ramon Marcote, langkah itu boleh menjadi peluang untuk memastikan pembangunan pemain muda lebih terjamin dengan sistem yang lebih tersusun dan mampan.
Struktur pertandingan bola sepak belia di Malaysia mungkin memerlukan penambahbaikan dan tindakan MFL itu sebahagian daripada usaha ke arah itu.
BACA LAGI: Ada lagi pemain Liverpool beri bayangan ikut Trent Alexander-Arnold ke Real Madrid
"Pihak bertanggungjawab perlu merangka satu struktur pertandingan yang bukan sahaja menjamin latihan dan pembangunan pemain muda, tetapi juga dapat memastikan kestabilan kewangan kelab-kelab yang terlibat.
"Kita perlu ingat bahawa Piala MFL merupakan pertandingan serupa dengan Liga Super, yang melibatkan perjalanan kelab ke seluruh negara.
"Ini memberikan tekanan kewangan yang tinggi kepada kelab dari segi perjalanan, penginapan, dan kos lain.
"Selain itu, saya berpendapat bahawa pemain muda tidak beraksi dalam jumlah perlawanan yang mencukupi menjelang penghujung musim," katanya kepada Majoriti.
Beliau juga berpandangan bahawa pemansuhan Piala MFL membuka peluang untuk mengkaji dan merangka semula bola sepak peringkat akar umbi di Malaysia.
Malah, Marcote turut mencadangkan agar Liga Perdana dikembalikan sebagai liga profesional kedua yang dapat menjadi platform bagi pemain muda melengkapkan latihan mereka sebelum melangkah ke Liga Super.
Selain itu, kelab-kelab Liga A1 Semi-Pro juga boleh menggunakan liga tersebut sebagai satu peringkat peralihan untuk membina struktur mereka sebelum bersaing di tahap lebih tinggi.
"Kita tidak boleh melupakan keperluan untuk mengkaji dengan teliti model pertandingan yang sesuai di Malaysia bagi memastikan pembangunan pemain muda yang mampan.
"Mungkin perlu melihat contoh kejayaan model yang telah terbukti berkesan di negara lain seperti Sepanyol, Perancis, Portugal, Itali, Belanda, Belgium, dan Jerman," jelasnya.
Dengan pembatalan Piala MFL, cabaran kini terletak pada MFL dan pihak berkaitan untuk mencari model pembangunan bola sepak belia yang sesuai dengan landskap bola sepak tempatan.
Kejayaan sistem itu bukan sahaja akan memberi manfaat kepada pemain muda tetapi juga akan memastikan pertumbuhan progresif dan daya saing kelab-kelab bola sepak Malaysia pada masa hadapan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram