
PERSATUAN Bola Sepak Kedah (KFA) mendedahkan pihaknya menyalurkan RM200,000 sebulan bagi menanggung hutang kelab Kedah Darul Aman (KDA) FC yang tertunggak sejak 2020.
Presidennya, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, langkah itu diambil bagi mengelakkan kelab bersejarah itu kehilangan lesen MFL.
Tambahnya, jumlah baki hutang berkenaan adalah baki daripada hutang RM30 juta daripada pengurusan terdahulu, termasuk tuntutan RM1.9 juta daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk pemain import sebelum ini antaranya pemain import Liridon Krasniqi.
BACA LAGI: Perjalanan masih jauh, TMJ sedia umum 7 lagi pemain warisan
BACA LAGI: [VIDEO] 'Tak sangka menjadi', Corbin Ong kongsi rahsia percaturan cetak gol berdepan Nepal
"Untuk makluman, pihak saya juga menanggung hutang pasukan sebanyak RM200,000 yang masih dibayar setiap bulan hingga kini. Jadi jangan kata saya atau KFA tak tolong dan sebenarnya kita juga tolong.
"Masa mula ambil pasukan dulu kita terpaksa tanggung hutang sebanyak RM16 juta dan pada ketika itu kita ada empat bulan tunggakan gaji.
"Selepas itu, sampai pula tuntutan daripada badan berkanun dan ditambah lagi komitmen pada musim selepasnya dan jika dicampur semua berkenaan dah cecah RM30 juta, jadi jangan kata kita tak buat apa pada bola sepak.
"Apabila kita buat kebajikan dan kebaikan, kita dapat pahala. Jika kita buat kebajikan sikit dan kalau kita kutuk orang yang buat kebaikan lebih banyak, pahala kita pula jadi debu dan Tuhan tak kira, (maka) sayanglah," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyerahkan ganjaran RM316,450 kepada atlet dan pegawai yang meraih pingat pada Sukan PARA ASEAN Kemboja 2023, SUKMA & PARA SUKMA XXI Sarawak 2024 dan Olimpik Paris 2024.
Begitupun, Menteri Besar Kedah itu turut mengucapkan terima kasih di atas usaha pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang melancarkan Tabung Aidilfitri sekali gus berjaya mengutip RM200,000 untuk disumbangkan kepada pemain Sang Kenari.
"Terima kasih kepada semua pihak yang telah menyumbang dan membantu kelab ini, khususnya kepada mereka yang membantu pemain bola sepak.
"Terima kasih juga kepada NGO yang telah mengumpul dana untuk kutipan ini. Begitu juga kepada semua yang terlibat dalam memberi, mengutip dan membuat inisiatif ini," katanya.
Menurut Sanusi di samping bantuan KFA, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Radhi Mat Din turut menyumbang secara peribadi berjumlah RM1,500 seorang kepada 11 lagi kakitangan KDA FC sempena Aidilfitri minggu depan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram