Masih cintakan dunia bola sepak Malaysia, giliran bekas fisioterapi Sang Kenari dedah 8 bulan tak dibayar gaji


  • Podium
  • Selasa, 25 Mac 2025

Richard menyertai Kedah pada 2023 atas jemputan bekas ketua jurulatih, Nafuzi.

BEKAS fisioterapi Kedah Darul Aman (KDA) FC, Helber Richard mendakwa masih belum menerima gaji selama lapan bulan daripada kelab tersebut meskipun telah mencapai persetujuan penamatan kontrak pada Disember tahun lalu.

Richard, yang berasal dari Brazil sudah berkhidmat dalam arena bola sepak Malaysia selama lapan musim, termasuk bersama Felda United, Selangor, dan Kedah. Dia menyertai Kedah pada 2023 atas jemputan bekas ketua jurulatih, Nafuzi Zain dalam projek selama dua musim.

"Saya menandatangani kontrak dua tahun dan kemudian melanjutkannya sehingga 30 April kerana perubahan kalendar liga. Pengalaman di Kedah sangat menakjubkan. Alor Setar bandar yang indah, penyokongnya luar biasa, dan pasukan ini seperti keluarga. Namun, kewangan kelab tidak stabil," katanya kepada Majoriti.

BACA LAGI: ‘Dipaksa’ cari kelab lain antara sebab Akmal Rizal tinggalkan Kedah, sertai Gergasi Merah

BACA LAGI: Dulu gaji lebih RM7,000 kini terpaksa bertahan RM50 sehari, penganalisis Kedah dedah kelab tak endah kebajikan

Selepas Nafuzi meletak jawatan, Richard dan Kedah mencapai persetujuan bersama untuk menamatkan kontraknya pada 4 Disember 2024. Walau bagaimanapun, dia mendakwa masih belum menerima sebarang pembayaran daripada jumlah gaji tertunggak lebih RM180,000.

"Kami telah menandatangani perjanjian penamatan kontrak, tetapi kelab gagal menunaikannya. Daripada lima ansuran gaji yang dipersetujui, satu pun belum dibayar," dedahnya.

Richard telah berulang kali cuba berhubung dengan pihak pengurusan Sang Kenari, namun tidak mendapat jawapan yang jelas.

"Saya sudah cuba menghubungi mereka berkali-kali, tetapi hanya menerima jawapan samar atau tiada maklum balas langsung.

"Setakat ini, Kedah tidak menunjukkan usaha sebenar untuk menyelesaikan masalah ini. Ia sangat mengecewakan apabila seseorang memberikan komitmen penuh kepada kelab tetapi tidak dibayar," katanya.

Situasi ini bukan sahaja menjejaskan kewangannya, tetapi juga kehidupannya secara peribadi.

Bekas pengendali Kedah, Nafuzi Zain.

"Keadaan ini memberi kesan besar kepada saya dan keluarga. Seperti orang lain, saya ada bil, sewa, insurans, dan perbelanjaan harian yang perlu ditanggung. Ini bukan sesuatu yang mudah untuk dihadapi," ujarnya.

Meskipun menghadapi ketidakadilan ini, Richard masih belum membawa kesnya Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) atau Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), dengan harapan Kedah akan menyelesaikan isu tersebut sebelum musim berakhir bulan depan.

"Saya masih cuba berkomunikasi dengan pengurusan. Namun, jika tiada tindakan positif diambil, saya berharap MFL (Liga Bola Sepak Malaysia) dan FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) akan campur tangan," katanya.

Walaupun pengalaman ini pahit, Richard menegaskan bahawa ia tidak mengubah cintanya terhadap bola sepak Malaysia.

"Malaysia masih mempunyai kelab yang diurus dengan baik seperti JDT, yang menetapkan standard tinggi di bawah kepimpinan Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim. Masih ada peluang baik untuk profesional seperti saya," katanya.

Richard tiba di Malaysia pada 2016 untuk membantu penyerang Brazil, Thiago Augusto yang mengalami masalah otot di Felda United.

Augusto pemain terawal yang menerima bantuan Richard.

Sejak itu, dia terus menjadi sebahagian daripada arena bola sepak tempatan, malah pernah berkhidmat dengan pasukan kebangsaan wanita Brazil dan sebagai ahli fisioterapi peribadi kepada Malcom de Oliveira semasa pemain itu beraksi di Barcelona.

Bagaimanapun, selepas bertahun-tahun berkhidmat, kini dia terpaksa menuntut gaji yang sepatutnya menjadi haknya.

Lebih memburukkan keadaan, Richard turut mendedahkan bahawa Kedah gagal membayar cukai pendapatannya, yang boleh menyebabkan komplikasi kewangan lain.

Pendedahan Richard ini turut mengingatkan kepada kes Hazwan Nizam Fazil, seorang penganalisis bola sepak yang turut berdepan masalah kewangan selepas Kedah gagal membayar gajinya hampir lapan bulan.

Hazwan yang sebelum ini menerima gaji RM7,500 sebulan, kini dikatakan hanya mampu bertahan dengan RM50 sehari akibat kegagalan kelab menghormati kontraknya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram